Berita Utama

5 juta kenderaan dijangka masuk lebuh raya mulai hari ini

JSPT guna dron pantau lokasi-lokasi sesak di lebuh raya

BANGI, 27 Ramadan 1443H, Jumaat – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan sebanyak 5 juta kenderaan akan berada di seluruh lebuh raya bermula hari ini untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, trend peningkatan itu akan bermula di Lembah Klang disebabkan pergerakan orang ramai untuk persiapan raya.

“Pergerakan akan mula sesak apabila orang ramai mula pulang ke pantai timur, utara dan selatan dan kita jangkakan sebanyak lima juta kenderaan akan berada di lebuh raya bermula hari ini.

“Pemantauan polis di stesen bas juga mendapati tiket habis dijual. Jadi, kita boleh nampak semua orang berpusu-pusu untuk pulang ke kampung,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Justeru, Mohd Nadzri berkata, pengguna jalan raya diingatkan untuk mematuhi peraturan lalu lintas, pastikan kenderaan dalam keadaan baik, rancang pergerakan pulang selain memastikan diri dalam keadaan bersedia serta tidak letih.

Beliau turut mengingatkan pemandu supaya lebih berhemah dengan tidak potong barisan, pandu di lorong kecemasan serta langgar peraturan lampu isyarat.

“Kerjasama semua pihak adalah amat penting. Kita tidak mahu kesalahan-kesalahan seperti ini boleh menyebabkan kejadian tidak diingini seperti pergaduhan atau ‘road bully’.

“Disarankan juga pengguna jalan raya yang penat dan perlu berehat, boleh berhenti di hentian plaza tol seketika termasuklah bagi menunaikan solat atau ke tandas. Ini bagi mengelakkan kesesakan di hentian rehat dan rawat (R&R),” katanya.

Dalam pada itu, JSPT akan menggunakan dron mulai hari ini bagi memantau lokasi-lokasi sesak di lebuh raya.

“Petugas terdiri daripada pegawai dan anggota JSPT akan bersedia sepanjang tempoh 24 jam termasuklah anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta Unit Kereta Peronda (MPV),” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button