Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Dunia

57 hari mogok lapar, tahanan Palestin kritikal

Khalil sakit kepala, penurunan berat badan ketara lebih 16kg

RAMALLAH, 27 Ramadan 1443H, Jumaat – Suruhanjaya Hal Ehwal Banduan mengesahkan nèseorang tahanan Palestin yang melancarkan mogok lapar di penjara Israel telah dibawa ke hospital selepas tahap kesihatannya semakin merosot.

Khalil Awawdeh, 40, penduduk di bandar Idhna di daerah selatan Hebron di Tebing Barat telah melancarkan mogok lapar selama 57 hari, sebagai membantah penahanan pentadbiran tanpa sebarang pertuduhan dan perbicaraan ke atasnya.

Jurucakap suruhanjaya, Hassan Abed-Rabbu berkata, Perkhidmatan Penjara Israel segera memindahkan Khalil dari Penjara Ramleh ke hospital Israel berikutan kemerosotan kesihatan yang serius.

Pada mulanya, Khalil dipindahkan dari sel kurungan bersendirian di kemudahan tahanan terkenal Ofer, barat Ramallah ke klinik Penjara Ramleh beberapa hari lalu berikutan kemerosotan itu.

Khalil dilaporkan mengalami sakit kepala, sakit sendi, keletihan teruk, aritmia, kerap muntah dan penurunan berat badan yang ketara iaitu lebih 16 kilogram.

Tahanan Palestin secara berterusan melancarkan mogok lapar secara terbuka, sebagai satu cara untuk membantah penahanan pentadbiran dan menuntut polisi haram itu dihentikan kerana melanggar undang-undang antarabangsa.

Amalan penahanan pentadbiran yang dikutuk meluas, membenarkan Israel menahan rakyat Palestin tanpa pertuduhan atau perbicaraan untuk selang masa yang boleh diperbaharui antara tiga dan enam bulan, kononnya berdasarkan bukti tidak didedahkan kepada peguam tahanan.

Amnesty International menyifatkan amalan penahanan pentadbiran Israel sebagai ‘taktik muflis’ dan mendesak rejim itu menamatkannya.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button