Berita Utama

Jangan normalisasikan perbuatan haram!: Khutbah

Jakim tegur klip video raya papar lelaki seperti wanita

BANGI, 27 Ramadan 1443H, Jumaat – Khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini menegur klip video raya tular yang memaparkan beberapa lelaki bertindak menyerupai wanita.

Khutbah menegaskan bahawa tindakan itu bercanggah dengan nilai Islam dan hakikat Aidilfitri, sekali gus mengingatkan semua pihak supaya tidak menormalisasikan perbuatan yang haram.

Meskipun dalam keghairahan menyambut hari raya, umat Islam diingatkan untuk tidak mencemarinya dengan perkara maksiat dan mungkar.

“Haram tetap haram! Paling ditakutkan ialah mengundang laknat dari Rasulullah SAW.

“Cukup-cukuplah membuat publisiti murahan. Itu bukan akhlak Islam, itu bukan ajaran Islam,” kata khutbah.

Justeru, khatib mengajak umat Islam untuk bertaubat atas dosa dan kesilapan yang telah dilakukan.

“Usah dicemari keberkatan Ramadan dan kesucian Aidilfitri dengan perkara maksiat yang boleh mengundang kemurkaan Allah SWT.

“Sama-sama kita menegur dan mengambil iktibar mudah-mudahan kita semua dipelihara Allah SWT,” katanya.

Pada masa sama, khutbah turut mengingatkan umat Islam supaya segera menunaikan zakat fitrah dan tidak bertangguh untuk membayarnya.

“Ambillah peluang pada hari ini untuk pergi ke kaunter-kaunter zakat fitrah yang ada disediakan.

“Bagi warga kota yang akan pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut 1 Syawal, saya ingin berpesan agar menjaga keselamatan sepanjang berada di atas jalan raya, pandulah secara berhemah dan cermat serta bersabar agar kita semua selamat sepanjang perjalanan nanti,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button