Berita Utama

Kenapa bersekongkol, 76 MP sokong Maria Chin sebab prinsip atau politik?

Mahkamah Syariah mungkin dihapus 'kuasanya' satu hari nanti

BANGI, 27 Ramadan 1443H, Jumaat – Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya kecewa apabila ada dalam kalangan Ahli Parlimen beragama Islam menyokong tindakan Maria Chin Abdullah menghina Mahkamah Syariah.

Beliau mengakui kecewa dengan senarai individu yang menyokong Maria Chin bukanlah daripada kalangan orang biasa atau NGO proksi, sebaliknya 76 ahli Parlimen yang menjadi pembuat dasar.

Tindakan itu ekali gus menimbulkan tanda tanya apakah sokongan berkenaan dibuat atas dasar prinsip atau semata-mata demi kepentingan politik, kata Haji Aminuddin.

Beliau  berkata, setelah institusi Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sekolah tahfiz. pusat zakat, institusi ulama dan fatwa ‘diserang’, kini giliran Mahkamah Syariah pula menjadi sasaran.

“Adakah ini satu kebetulan atau satu perancangan? Saya boleh jangka ahli-ahli Parlimen bukan Islam akan menyokong YB Maria, tetapi saya agak terkejut kenapa yang muslim juga bersekongkol?

“Saya tertanya-tanya kalau beginilah sikap ahli-ahli Parlimen muslim, apakah nilai atau agenda sebenar yang ingin mereka bawa.

“Apakah mereka tidak meneliti dan membuat kajian terhadap strategi musuh? Atau mereka ini sebenarnya tidak lebih daripada menjadi proksi kepada…?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, sekumpulan 76 ahli Parlimen menyatakan sokongan mereka kepada Maria Chin yang dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur selepas menghina mahkamah.

Kumpulan ahli parlimen pembangkang merentasi parti itu membangkitkan kebimbangan terhadap keputusan hakim Syariah Mohamed Fouzi Mokhtar yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari kepada Maria yang disifatkan sebagai ‘mengejutkan’.

Antara ahli Parlimen yang menandatangani kenyataan itu adalah pemimpin Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Mohamad Sabu, Saifuddin Nasution, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Salahuddin Ayub, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Maszlee Malik, Fahmi Fadzil dan Nurul Izzah.

Hukuman terhadap Maria itu diputuskan selepas mendapati Ahli Parlimen Petaling Jaya berkenaan telah menghina mahkamah berkait kes membabitkan Pengerusi Bersama Kumpulan Naza, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin dan bekas isterinya, Emelia Hanafi.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, penghinaan kepada Mahkamah Syariah sebenarnya adalah satu tamparan besar kepada tonggak sistem Islam.

Beliau tidak menolak kemungkinan satu hari nanti Mahkamah Syariah akan ‘dihapuskan’ kuasanya, dan sukar bagi umat Islam bangkit kembali sementara musuh akan bersorak keriangan.

“Sejarah akan menukilkan bagaimana ahli-ahli Parlimen muslim ini menjadi penyumbang kepada keruntuhan sistem perundangan Islam di Malaysia.

“Apa pun saya masih lagi berharap yang mereka yang beragama Islam dalam senarai 76 orang ini untuk ‘U-turn’,” katanya.

BACA KENYATAAN PENUH PENGERUSI PEMBELA, HAJI AMINUDDIN DI PENDAPAT ISMAWEB.NET

Kes hina Mahkamah Syariah: Harap MP muslim sokong Maria buat ‘U-turn’

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button