‘Khemah besar’ hanya demi kelangsungan PH
BERJASA sedia jadi penggerak utama jajaran baharu jika PAS tidak

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 27 Ramadan 1443H, Jumaat – Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim menyifatkan cadangan mewujudkan ‘khemah besar’ bagi menyatukan parti-parti pembangkang adalah demi kelangsungan Pakatan Harapan (PH) itu sendiri.
Beliau berkata, menyedari daripada kekalahan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, maka PH mula bercakap mengenai khemah besar.
Namun, agendanya masih kecil dan berkisah kepada agenda ingin berkuasa di Putrajaya semula.
“Telahan yang telah dinyatakan oleh Nurul Izzah baru-baru ini, PH akan mengalami kekalahan pada PRU15 membuatkan PH tiada pilihan kecuali ghairah mewujudkan khemah besar,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, PAS memang sudah menolak strategi khemah besar, namun PAS perlu berfikir luar kotak bagi menggerakkan strategi terancang.
“PAS tidak boleh dilihat sebagai sebuah parti ‘hidung tidak mancung, pipi tersorong-sorong’.
“Tambahan pula UMNO kelihatan tetap tidak bersedia dengan jajaran baharu. UMNO di dalam BN sudah merasakan bahawa PRU15 akan menjadi milik BN untuk meraikan kejayaan yang diharapkan,” katanya.
Apa yang lebih dikesalkan, beliau berkata, apa pun istilah kerjasama antara parti-parti sedia ada, namun agenda besar untuk agama, bangsa Melayu khususnya dan negara tidak menjadi keutamaan.
“Kerancakkan menyusun strategi tidak lebih daripada memastikan dapat berkuasa sedangkan pemain pemain politik masih orang yang sama.
“Sudah sampai masanya rakyat diberikan pilihan jajaran baharu yang membariskan pimpinan baharu Malaysia. Inilah yang dinamakan sebagai berfikir di luar kebiasaan.
“Negara mesti diurus tadbir dan dipimpin oleh mereka yang berwibawa, berintegriti, berhikmah dan bersih dari sebarang kekotoran rasuah dan kes kes mahkamah,” katanya.
BERJASA juga melihat bahawa PAS sepatutnya menjadi penggerak utama jajaran baharu ini.
“Namun kalau sekiranya PAS masih seperti ‘melukut di tepi gantang’, dengan rasa tanggungjawab, maka BERJASA akan memainkan peranan tersebut,” katanya.