Berita Utama

KPLB kaji elaun tajaan MARA untuk pelajar luar negara

Menyedari kos sara hidup semakin meningkat ketika ini

KUALA NERANG, 27 Ramadan 1443H, Jumaat – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedang mengkaji kadar elaun tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA), yang bersesuaian untuk pelajar di luar negara khususnya di United Kingdom (UK) dan Ireland, apabila menyedari kos sara hidup di negara itu meningkat pada masa ini.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata dapatan kajian itu termasuk maklumat terperinci mengenai peningkatan kos berkenaan, akan diperoleh dalam tempoh terdekat yang kemudian akan dibawa ke peringkat kerajaan, khususnya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Kementerian Kewangan.

“Ya, kita sedar pada waktu ini ada peningkatan kos kehidupan, terutamanya pelajar kita yang berada di United Kingdom dan Ireland. Jadi, kita tengah membuat kajian dengan penaja-penaja (Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Bank Negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Petronas) lain.

“…sekarang ini kalau Ijazah Sarjana Muda, dia (pelajar) lebih kurang baki yang tinggal kat dia 800 pound sebulan. Kalau buat Master Degree dia ada lebih kurang dalam 1,000 pound. Jadi, dalam 800 pound dia menguruskan diri dia, rumah, bil-bil, makan, duit transport…kita tengok kos utiliti di UK dah naik. Jadi, ini kita kena kaji,” katanya pada program bubur lambuk KPLB bersamanya di sini hari ini.

Semalam media melaporkan yang Badan Perhubungan Negara United Kingdom & Eire (BPN UKE) menggesa, supaya penstrukturan semula elaun sara hidup pelajar tajaan JPA dan MARA dilaksanakan segera.

BPN UKE dalam kenyataan itu dipetik sebagai berkata kos sara hidup di UK dan Ireland sedang melambung tinggi, dan kesannya dirasai seluruh masyarakat terutama pelajar tajaan JPA-MARA yang elaun mereka tidak berubah sejak tahun 2012.

Untuk rekod, semalam media juga melaporkan yang MARA meneruskan program penghantaran pelajar tajaannya ke luar negara membabitkan seramai 1,500 orang dalam pelbagai bidang dan peringkat pengajian pada tahun ini.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata pihak MARA juga sedang mengumpul maklumat berkaitan jumlah keseluruhan pelajar Malaysia di UK dan Ireland. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button