Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Malaysia gesa kuasa veto UNSC dihadkan

Malaysia menyokong resolusi terbaharu A/RES/76/262

KUALA LUMPUR, 27 Ramadan 1443H, Jumaat – Malaysia menggesa penggunaan kuasa veto oleh ahli tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dihadkan dan memperjuangkan pembaharuan menyeluruh Majlis itu.

Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata Malaysia menyokong resolusi terbaharu A/RES/76/262, yang diterima pakai pada Selasa (26 April), selaras dengan kedudukannya mengukuhkan hubungan dan penyelarasan antara Perhimpunan Agung dan Majlis Keselamatan berkaitan keamanan dan keselamatan.

Resolusi itu memberi mandat kepada Presiden Perhimpunan Agung (PGA) untuk mengadakan mesyuarat rasmi dalam tempoh 10 hari bekerja apabila satu atau lebih ahli tetap Majlis Keselamatan menggunakan kuasa veto, seterusnya mengadakan perbahasan mengenai isu yang diveto, menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra) pada Jumaat.

Resolusi itu juga akan membuka lebih ruang perbahasan ke atas usul yang telah diveto bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti terhadap penggunaan kuasa veto.

“Penerimaan resolusi itu jelas menunjukkan perkembangan positif berhubung penggunaan veto oleh Anggota Tetap Majlis Keselamatan.

Ia merupakan satu pencapaian kecil namun melambangkan penambahbaikan terhadap prosedur kerja Majlis Keselamatan PBB.

“Malaysia berpendapat penggunaan veto adalah tidak demokratik kerana ia sering digunakan secara tidak adil dan menyekat suara majoriti.

“Oleh itu, Malaysia adalah antara negara yang konsisten menggesa pemansuhan penggunaan kuasa veto selaras dengan prinsip kedaulatan yang saksama dalam Piagam PBB.

“Sebagai alternatif, Malaysia menggesa agar penggunaan veto dihadkan. Dalam hal ini, Malaysia akan terus berusaha ke arah pembaharuan menyeluruh Majlis Keselamatan,” kenyataan itu memetik Saifuddin sebagai berkata.

Media antarabangsa melaporkan UNGA memutuskan pada Selasa untuk bertemu secara automatik dalam tempoh 10 hari, jika veto digunakan dalam Majlis Keselamatan oleh mana-mana lima anggota tetapnya.

China, Perancis, Rusia, United Kingdom, dan Amerika Syarikat mempunyai kuasa untuk memveto resolusi Majlis Keselamatan, yang termaktub dalam Piagam PBB — hak yang diberikan kepada negara terbabit kerana peranan utama mereka dalam penubuhan PBB. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button