PAS tolak ‘khemah besar’ kerana dalamnya ada tikus, kucing
Ada kumpulan sendiri laksana agenda perpaduan ummah: Abdul Hadi
MARANG, 27 Ramadan 1443H, Jumaat – PAS menolak kerjasama ‘khemah besar’ dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu enggan bersama dengan penghuni khemah besar diumpamakan sebagai tikus dan kucing yang boleh bercakaran antara satu sama lain.
Tegasnya, PAS ada kumpulan tersendiri yang masih terus melaksanakan agenda perpaduan ummah.
“Kita tidak ikut khemah besar kerana di dalamnya ada tikus, kucing dan macam-macam. Kita bukan khemah, kita bawa agenda perpaduan ummah,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, hari ini.
Abdul Hadi turut membayangkan agenda perpaduan yang didukung PAS disertai oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan golongan bukan Islam yang tidak esktrem
Kelmarin, Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, parti itu tidak akan menyertai khemah besar dianjurkan PH, meskipun ditawarkan untuk menyertainya.
Dilaporkan, rancangan mewujudkan khemah besar dalam kalangan blok parti pembangkang kini hangat diperkatakan, terutama PH yang bermatlamat menewaskan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.