Berita Utama

Pasang CCTV dalam kelas usaha banteras gejala buli?

Lantik warden bukan kalangan guru di sekolah antara penyelesaian jangka panjang

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 27 Ramadan 1443H, Jumaat – Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di dalam bilik darjah atau kelas untuk memantau pelajar serta mengurangkan masalah buli adalah satu cadangan yang baik.

Tidak menolak cadangan itu, namun Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan berpandangan ia adalah satu penyelesaian yang bersifat jangka masa pendek.

Tambahan pula kos pemasangan CCTV untuk di setiap bilik darjah atau kelas agak tinggi, katanya.

Beliau berkata, antara perancangan jangka masa panjang yang perlu dipertimbangkan adalah melantik semula jawatan warden dalam kalangan bukan guru. 

“Perkara ini perlu diketengahkan bagi mengurangkan masalah buli di kalangan pelajar. Warden yang dilantik perlulah yang berkelayakan dan bukan di kalangan guru kerana guru sudah pun terbeban dengan tugasan keguruan seharian,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini. 

Beliau berkata, apa pun cadangan tambahan, penyelesaian yang bersifat jangka masa panjang adalah didikan agama dalam diri pelajar itu sendiri di mana bebannya selain kepada guru, ibu bapa juga memainkan peranan, pemilihan rakan dan lain-lain. 

“Pelajar perlu diberi kesedaran dan nilai murni yang tinggi.

“Masyarakat perlu juga beri kerjasama untuk elak buli di sekolah. Masalah buli bukan hanya dapat diselesaikan oleh guru semata-mata, bahkan ibu bapa, polis dan lain-lain entiti perlu main peranan,” katanya.

Terdahulu, tular video di laman sosial Twitter memaparkan seorang pelajar dibelasah secara beramai-ramai oleh rakan-rakannya di sekolah.

Seramai 13 pelajar Tingkatan Empat ditahan kerana kes pergaduhan beramai-ramai di sebuah sekolah menengah di Langkawi dan telah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, tindakan itu dilakukan selepas rakaman percakapan semua suspek telah diambil.

Siasatan awal mendapati, pergaduhan berpunca daripada ejek-mengejek di antara mangsa dan suspek.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button