Berita Utama

Pemimpin MIC bincang dengan BN berhubung agihan kerusi

Bincangkan kewajaran penambahan kerusi DUN kepada MIC

BANGI, 27 Ramadan 1443H, Jumaat – Pemimpin utama MIC akan berbincang dengan kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) berhubung agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kepada parti itu, yang berpotensi tinggi untuk menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Presidennya Tan Sri SA Vigneswaran berkata, beliau sendiri telah bertemu dengan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi membincangkan kewajaran penambahan kerusi DUN kepada MIC.

Sekiranya perkara itu dapat dipenuhi, maka katanya secara tidak langsung ia memberikan manfaat kepada kerajaan BN kelak.

“Kalau di Perak, untuk Parlimen saya rasa tiada. Tetapi kerusi DUN, saya secara peribadi telah berjumpa dengan Ahmad Zahid dan memberitahu beliau MIC kena juga diberikan kerusi yang boleh menang.

“Pengerusi BN memahami hasrat yang kami bawa ini kerana merasakan kehadiran pemimpin India juga adalah mustahak.

“Sekurang-kurangnya satu atau dua kerusi. Tiada guna jika kerusi yang kita dapat itu sudah dijangka akan kalah pada PRU,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan hari ini.

Vigneswaran menjelaskan, perbincangan bersama kepimpinan BN itu akan diadakan tidak lama lagi, selewat-lewatnya selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Kerusi yang kita minta itu, bukan buta-buta minta untuk katakan itu kerusi tradisi atau sebagainya.

“Kita mahu menang kerusi itu bukan hanya untuk MIC sahaja tetapi kena menang untuk pastikan BN terajui kerajaan Persekutuan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, ditanya sama ada beliau akan bertanding di Parlimen Sungai Siput pada PRU akan datang, beliau memberikan gambaran berhubung perkara itu.

“MIC akan bertanding di sini (Sungai Siput), kemungkinan sayalah. Tetapi kalau saya tiada pun, orang lain akan bertandinglah,” katanya sambil mengakui parti berkenaan sudah mengenal pasti kawasan yang bakal ditandingi pada PRU15.

Bagaimanapun, menurutnya, keputusan muktamad hanya akan diambil setelah mengadakan perbincangan bersama BN di peringkat kebangsaan.

“Kerusi-kerusi tradisi ada juga kita akan bertanding kerana pemikiran rakyat sekarang berbanding tahun 2018 memang sudah banyak berubah,” tambahnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button