Berita Utama

Sindiket tipu tawaran kerja ‘online’ tumpas

9 warga tempatan berusia 20 hingga 31 tahun ditangkap

BANGI, 27 Ramadan 1443H, Jumaat – Bukit Aman berjaya menumpaskan sindiket penipuan tawaran kerja dalam talian menerusi serbuan yang dilakukan di dua lokasi sekitar Lembah Klang pada 27 April lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, sembilan warga tempatan berbangsa Cina berusia antara 20 hingga 31 tahun, yang disyaki terlibat dalam aktiviti penipuan tawaran pekerjaan di luar negara telah ditangkap.

Beliau berkata, maklumat risikan yang diterima mendedahkan sindiket itu dipercayai beroperasi sejak 13 Mac 2020 dengan menyasarkan warga asing yang menetap di Malaysia.

Katanya, sindiket berkenaan telah beberapa kali menukar nama syarikat dalam laman sesawang dan Facebook dari ‘Top Speed Agency Visa’ kepada ‘Cos Consultan Agency’ dan terbaru adalah ‘Eco Travel Malaysia’.

“Mengikut rekod dalam ‘Immiaccount Online Application’, permohonan yang menggunakan kata kunci alamat emel suspek, terdapat 658 permohonan yang masih dalam proses dan kebanyakannya adalah warga Bangladesh, Malaysia dan Pakistan.

“Berdasarkan maklumat, sehingga hari ini terdapat 1,023 individu telah membuat aduan kepada pihak kedutaan mengenai penipuan ini.

“Manakala, sejumlah 28 laporan polis telah diterima dengan nilai kerugian RM155,472,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, sindiket itu menggunakan modus operandi melalui kemudahan internet dan media sosial bagi mengiklankan tawaran-tawarannya.

Katanya, orang ramai yang berminat akan ditunjukkan cara untuk membuat permohonan visa kerja di Australia.

“Sindiket akan mengenakan bayaran sejumlah RM1,400 untuk kos proses. Satu tangkap layar menunjukkan dokumen permohonan telah dihantar akan ditunjukkan kepada mangsa bagi menyakinkan mereka.

“Kemudian ahli sindiket akan memasukkan maklumat mangsa dalam ‘Immiaccount Online Application’, tetapi permohonan sebenar tidak dibuat.

“Selepas mangsa membuat bayaran, sindiket akan menghantar salinan dokuman palsu kepada mangsa seperti ‘label visa’, surat visa dan invois pembayaran cukai dengan menggunakan kepala surat ‘Australian Government – Department of Home Affairs’,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button