Berita Utama

143 pendatang tanpa izin termasuk pelarian Rohingya ditahan di perairan Kuala Kurau

87 orang atas bot, yang lain larikan diri dengan berenang ke daratan

PARIT BUNTAR, 28 Ramadan 1443H, Sabtu – Seramai 143 pendatang tanpa izin termasuk 134 etnik pelarian Rohingya ditahan di perairan laut Kuala Kurau hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata kesemua mereka yang berumur lingkungan lima tahun hingga 40-an itu ditahan kira-kira enam batu nautika di perairan laut Kuala Kurau di antara 7 pagi hingga 12.30 tengah hari.

“Semua warga asing itu termasuk empat lelaki warga Bangladesh dan lima lelaki Myanmar ditahan selepas bot yang dinaiki mereka tersangkut pada beting pasir Kalumpang di perairan berkenaan.

“Mereka yang ditahan itu membabitkan 66 lelaki dan 59 wanita serta kanak-kanak lelaki dan perempuan masing-masing sembilan orang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mereka datang dari Myanmar dan berada di perairan itu setelah bot dinaiki tersangkut pada beting pasir.

Katanya, semasa pemeriksaan, seramai 87 orang berada di atas bot manakala yang lain bertindak melarikan diri dengan berenang ke daratan sebelum ditahan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button