Dunia

Afrika Selatan berdepan gelombang ke-5 COVID-19

Rekod 100,000 kematian sepanjang wabak melanda dunia

JOHANNESBURG, 28 Ramadan 1443H, Sabtu – Afrika Selatan berdepan gelombang kelima COVID-19 lebih awal daripada jangkaan, selepas kes jangkitan terus meningkat sepanjang tempoh 14 hari lalu.

Gelombang itu didorong oleh sub-varian BA.4 dan BA.5 Omicron, kata pegawai kesihatan dan saintis. 

Bagaimanapun,  belum ada petanda varian berkenaan menyebabkan penyakit yang lebih teruk.

Negara yang mencatatkan kes jangkitan dan kematian paling banyak di benua Afrika telah melepasi gelombang keempat sekitar Januari, dan meramalkan gelombang kelima bermula Mei atau Jun.

Menteri Kesihatan, Joe Phaahla berkata, walaupun kemasukan ke hospital meningkat, setakat ini tiada perubahan ketara dalam kes kematian atau kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU).

Beliau dalam taklimat pada Jumaat berkata, pada peringkat ini, pihak berkuasa kesihatan belum dimaklumkan mengenai sebarang varian baharu, selain perubahan varian dominan, Omicron.

Pakar penyakit berjangkit, Richard Lessells dalam taklimat sama memberitahu, imuniti yang berkurangan daripada gelombang sebelumnya boleh menyumbang kepada peningkatan semula kes.

Afrika Selatan melaporkan lebih 3.7 juta kes COVID-19 dan lebih 100,000 kematian sepanjang wabak pandemik itu.

Setakat ini, Afrika Selatan tidak merancang menambah bekalan vaksin COVID-19, termasuk tidak bercadang membeli pil rawatan Paxlovid atas faktor kos yang mahal.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button