Berita Utama

PM ucap takziah kepada keluarga Allahyarham Tengku Ahmad Rithauddeen

Allahyarham merupakan veteran UMNO yang sangat dihormati

KUALA LUMPUR, 28 Ramadan 1443H, Sabtu – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga bekas Menteri Pertahanan Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail atas pemergian tokoh yang berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan itu semalam.

Mewakili Keluarga Malaysia, Ismail Sabri mendoakan agar seluruh keluarga Tengku Ahmad Rithauddeen yang juga merupakan veteran UMNO yang sangat dihormati itu, sabar dan tabah menghadapi dugaan ketika ini.

Ismail Sabri juga menyifatkan pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat negara.

“Mendapat perkhabaran sedih di atas pemergian bekas Menteri Pertahanan Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail, 94, yang menghembuskan nafas terakhir 8.43 malam tadi, 29 April 2022 bersamaan 28 Ramadan 1443H.

“Selain Menteri Pertahanan (1987-1990), antara jawatan lain yang pernah disandang oleh Allahyarham dalam kerajaan termasuk Menteri Hal Ehwal Luar Negara, Menteri Perdagangan dan Industri serta Menteri Penerangan.

“Dalam arena politik, Allahyarham yang dikenali sebagai Ku Deen pernah menjadi Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah,” katanya menerusi catatan di akaun Facebook rasminya hari ini.

Tengku Ahmad Rithauddeen menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Jalan Duta semalam akibat sakit tua.

Anaknya Tengku Farith berkata bapanya mengalami strok dua minggu lepas dan mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta sebelum dibenarkan discaj, namun pagi semalam Allahyarham mengalami sesak nafas sebelum meninggal dunia. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button