Berita Utama

BERJASA harap Dr Sam bawa perubahan baharu Dewan Rakyat

Kemenangan besar MB Terengganu bukti rakyat tolak kerajaan PH-BN

BANGI, 20 Jamadilawal 1445H, Isnin – BERJASA hari ini mengucapkan tahniah kepada Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di atas kemenangan majoriti besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Sabtu lalu.

Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Hamdan Mohd Shariff berkata, kemenangan besar dengan majoriti 37,220 membuktikan rakyat Terengganu konsisten menolak kerajaan campuran Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN), yang didakwa semakin lemah.

Beliau berkata, dengan kemenangan ini, Dewan Rakyat akan menyaksikan kehadiran seorang lagi Ahli Parlimen yang juga berperanan sebagai Menteri Besar Terengganu.

“BERJASA mengharapkan kehadiran beliau boleh membawa perubahan baharu ke dalam sidang Dewan Rakyat dengan perbahasan-perbahasan yang berilmiah, berfakta dan menitikberatkan kepentingan rakyat.

“BERJASA berdiri teguh menyokong mana-mana pihak yang mengetengahkan calon-calon muslim berwibawa, untuk dijadikan sebahagian dari pimpinan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, PAS berjaya mengekalkan status quo apabila memenangi PRK Kemaman dengan majoriti yang lebih besar, iaitu penambahan lebih 10,000 undi.

Ahmad Samsuri menang PRK Kemaman dengan majoriti 37,220 berbanding 27,179 undi yang dimenangi penyandang sebelum ini, Che Alias Hamid dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden PAS itu memperoleh 64,998 undi manakala pesaingnya, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dari BN memperolehi 27,778 undi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button