Berita Utama

15,313 aduan diterima menerusi aplikasi WFW: Saravanan

Jadi medium sampaikan cadangan dan maklum balas pastikan kesejahteraan serta kepentingan pekerja terpelihara

KUALA LUMPUR, 29 Ramadan 1443H, Ahad – Aplikasi digital ‘Working For Workers’ (WFW) yang menjadi platform pekerja termasuk warga asing untuk mengemukakan aduan dan permasalahan berkaitan isu perburuhan, menerima sebanyak 15,313 aduan setakat 17 April lepas, sejak dilancarkan 3 Mei 2021.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 14,907 aduan telah diambil tindakan.

“Segala isu atau maklum balas yang diterima melalui aplikasi ini akan diambil tindakan melalui kerjasama strategik pejabat buruh di seluruh negara yang berhampiran dengan kawasan premis pekerja berkenaan.

“Selain melaporkan isu berkaitan pekerjaan, WFW juga menjadi medium dalam menyampaikan cadangan dan maklum balas bagi memastikan kesejahteraan serta kepentingan pekerja terpelihara di bawah sistem perundangan perburuhan, khususnya Akta Pekerjaan 1955,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Hari Pekerja 2022 yang disiarkan secara langsung di TV1, hari ini.

Saravanan berkata, bagi mengoptimumkan penggunaan WFW, aplikasi berkenaan akan ditambah baik dengan terjemahan 14 bahasa bagi menggalakkan lebih ramai pekerja terutama pekerja asing untuk menyalurkan sebarang aduan berkaitan hal-hal perburuhan.

Sebagai komitmen berterusan dalam memastikan isu buruh paksa dalam negara dapat ditangani secara kolektif dan efektif demi menjaga reputasi dan imej negara, beliau berkata kementerian dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) telah melancarkan Pelan Tindakan Nasional Berhubung Buruh Paksa (2021-2025).

Menyentuh mengenai pasaran pekerjaan yang kini lebih berorientasikan pasaran pekerja seperti ekonomi gig yang menawarkan pendapatan lebih tinggi berdasarkan kemahiran, Saravanan berkata kementerian akan meneliti keperluan penggubalan perundangan khusus bagi mengawal selia dan melindungi kebajikan pekerja sektor gig.

“Ketika ini kira-kira empat juta rakyat Malaysia telah menyertai ekonomi gig berbanding hanya 500,000 orang sebelum pandemik COVID-19.

“Kementerian sentiasa prihatin terhadap keperluan pekerja gig dan memberi jaminan bahawa isu status pekerja gig di negara ini terutamanya dari segi kawal selia aspek perundangan akan diteliti secara komprehensif dengan pelbagai pihak,” katanya.

Dalam pada itu, Saravanan berkata kementerian akan sentiasa berusaha untuk memastikan kesejahteraan dan kebajikan warga pekerja terus terpelihara.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button