Berita Utama

JAWI umum beberapa kelonggaran di semua masjid, surau wilayah Persekutuan

Ia termasuk pemansuhan penggunaan sejadah sendiri

BANGI, 29 Ramadan 1443H, Ahad – Berkuat kuasa esok beberapa kelonggaran terbaharu diperuntukkan di semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, ia termasuk pemansuhan penggunaan sejadah sendiri, kemasukan tanpa mengira status vaksin dan kebenaran bersalaman antara jemaah.

Pemansuhan berkenaan adalah susulan titah perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) seperti diumumkan kerajaan.

“Antara kelonggaran yang akan berkuat kuasa esok ialah pemansuhan daftar masuk ke masjid dan surau dengan mengimbas kod MySejahtera.

“Penggunaan sejadah sendiri dimansuhkan. Penjarakan fizikal antara jemaah dimansuhkan dalam semua keadaan di masjid dan surau.

“Kemasukan ke masjid dan surau dibenarkan tanpa mengira status vaksinasi kecuali jemaah yang berstatus ‘berisiko tinggi’ atau di bawah Perintah Pengawasan di Rumah (HSO), katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Malah, pemakaian pelitup muka diwajibkan di dalam masjid dan surau yang tertutup.

Manakala pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan di kawasan terbuka, di luar masjid dan surau.

Mohd Ajib menjelaskan kelonggaran lain ialah kebenaran mengadakan jamuan di masjid dan surau dengan apa-apa cara penyediaan makanan, selain jemaah boleh bersalaman.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan jemaah untuk tidak menyentuh muka selepas bersalaman dan perlu sentiasa mencuci tangan.

“Aktiviti ziarah dan takbir raya dari rumah ke rumah anjuran masjid dan surau dibenarkan.

“Semoga dengan kelonggaran SOP ini, lebih ramai umat Islam dapat hadir mengimarahkan masjid dan surau di kariah masing-masing serta mengekalkan momentum ibadah Ramadan menjelang Syawal yang bakal tiba,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button