Mekanisma baharu diperkenal kurangkan kebergantungan pekerja asing
KSM akan teliti agar pekerja tempatan dapat manfaat

BANGI, 29 Ramadan 1443H, Ahad – Mekanisme baharu akan diperkenalkan kerajaan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing selain memberi keutamaan kepada pekerja tempatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan sempena Hari Pekerja berkata, pembukaan semula sempadan sememangnya memberi ruang kepada pengambilan semula tenaga kerja asing dalam sektor-sektor tertentu.
Antara sektor yang diperlukan oleh majikan adalah sektor 3D (dirty, dangerous and difficult).
“Bagaimanapun tindakan tersebut tidak bermakna kerajaan berhasrat untuk membelakangkan pekerja tempatan.
“Kementerian Sumber Manusia telah diminta supaya meneliti dan mengkaji aspek ini agar pekerja tempatan mendapat manfaat dengan menambah baik kadar gaji, pakej pekerjaan dan kemajuan kerjaya,” katanya.
Ismail Sabri menjelaskan, mekanisme komprehensif akan dirangka bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing supaya warga tempatan diberi keutamaan terlebih dahulu.