Pakistan akan terus pertingkat hubungan dengan China selepas insiden serang di Karachi: Presiden
Beri jaminan akan perangi keganasan, pastikan keselamatan warga China di negara itu selamat

ISLAMABAD, 29 Ramadan 1443H, Ahad – Pakistan menolak sebarang percubaan untuk menjejaskan hubungannya dengan China, kata Presiden Pakistan Arif Alvi selepas insiden serangan pengganas yang membunuh tiga warga China di Karachi, awal minggu ini.
Selasa lalu, sebuah van penumpang ulang-alik Institut Confucius di Universiti Karachi diserang, menyebabkan tiga guru Cina terbunuh.
Semasa lawatannya ke Kedutaan China di Islamabad, Presiden merakamkan ucapan takziah kepada pihak China atas kematian guru-guru itu, selain mengutuk sekeras-kerasnya serangan itu dengan mengatakan Pakistan akan berusaha keras untuk memerangi keganasan dan memastikan keselamatan warga China dan institusinya di negara itu, lapor Agensi Berita Xinhua.
Mangsa adalah duta persahabatan yang mempromosikan pertukaran rakyat antara Pakistan dan China, katanya, sambil menambah bahawa tujuan pengganas bertindak sedemikian adalah untuk menggugat persahabatan Pakistan-China dan pembinaan Koridor Ekonomi China-Pakistan.
Pembangunan Pakistan dan pembinaan koridor itu tidak boleh dicapai tanpa sokongan China, tegas Presiden.
Kuasa Usaha Kedutaan China di Pakistan Pang Chunxue mengucapkan terima kasih kepada Alvi atas lawatannya, dan berkata China mengutuk sekeras-kerasnya serangan itu dan meminta pihak Pakistan menyiasat insiden itu dan membawa pelakunya ke muka pengadilan.
China akan bekerjasama dengan Pakistan untuk memastikan keselamatan warga, projek dan institusinya di Pakistan, memerangi keganasan dan menggalakkan keamanan dan kestabilan serantau, tambahnya. – Bernama