Berita Utama

Program BMTKM fasa pertama bermula pertengahan bulan ini: Mustapa

Babitkan 5,000 KIR di 80 lokaliti seluruh negara

PASIR MAS, 29 Ramadan 1443H, Ahad – Pelaksanaan fasa pertama Program Basmi Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) membabitkan 5,000 ketua isi rumah (KIR) di 80 lokaliti seluruh negara dijangka bermula pertengahan bulan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, setakat ini pihaknya telah mengadakan libat urus di beberapa lokaliti seperti Kuala Lumpur, Sabah, Pahang dan Kelantan untuk memberi pencerahan mengenai program itu kepada KIR yang telah dikenal pasti.

“BMTKM ini adalah program ekonomi untuk meningkatkan pendapatan penduduk. Menerusi libat urus yang telah dilaksanakan kita telah mengadakan perbincangan dengan KIR mengenai produk berpontensi untuk diusahakan bagi menjana pendapatan.

“Di Sabah, ada KIR yang ingin mengusahakan ternakan ayam tetapi kita telah menasihatkan agar mencari produk lain memandangkan ia memerlukan modal agak besar.

“Selain itu, ada KIR yang ingin mengusahakan madu kelulut kita bersetuju kerana ia tidak membabitkan kos besar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan 12 KIR terpilih menyertai BMTKM bagi Kelantan di Kampung Jejawi, hari ini.

Mustapa berkata, dua agensi di bawah kementeriannya iaitu Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dilantik menjadi penyelaras dan pemudah cara bagi pelaksanaan program tersebut.

Katanya, sebanyak lapan universiti termasuk Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Malaysia Kelantan turut bekerjasama dari segi penyediaan pangkalan data dan juga pemantauan rapi.

“Mereka (universiti) bertanggungjawab untuk membina pangkalan data selain melakukan pemantauan perkembangan peserta program sebanyak tiga bulan sekali. Sekiranya terdapat masalah, mereka akan memberikan kaedah untuk menyelesaikannya.

“Kita jangka hujung 2025 tiada lagi golongan miskin tegar, malah peserta terbabit dengan BMTKM telah melepasi paras garis kemiskinan yang mana mereka mampu berdikari dengan menggunakan beberapa bantuan diberi kerajaan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button