Ramai masih kekok rapatkan saf, hanya rapatkan sejadah
Menteri Agama perlu teliti semula SOP di masjid, surau

BANGI, 29 Ramadan 1443H, Ahad – Pengerusi Pemerkasaan Syariah BERJASA, Tuan Guru Ustaz Fisol Md Isa menyifatkan prosedur operasi standard (SOP) di surau dan masjid masih kurang jelas dan perlu diteliti semula.
Meskipun, solat berjemaah secara merapatkan saf telah dibenarkan sejak 1 April lalu, namun ramai yang masih keliru dengan pelaksanaannya.
“Rata-rata agak kekok dalam merapatkan saf, dan hanya merapatkan sejadah. Namun, dengan saiz sejadah yang berbeza masih berlaku penjarakan di dalam saf dan ia masih tidak cukup syarat ‘merapatkan saf’.
“Dari Ibnu Umar r.a., Rasulullah SAW bersabda, “Rapatkanlah saf, dekatkan (jarak) antara saf-saf itu dan ratakan bahu-bahu.” (HR Abu Daud dan an-Nasai, disahihkan oleh Ibnu Hibban),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Berikutan itu, timbul pelbagai solusi untuk isu ini antaranya melipat sejadah atau hanya membawa sejadah kecil untuk sujud.
Katanya, dengan solusi ini, cukuplah syarat ‘rapat saf’ dan bukan rapat sejadah.
“Namun kita boleh lihat, solusi ini tidak popular di kalangan masyarakat selagi pihak bertanggungjawab tidak memberikan penerangan dengan jelas.
“Malah, ada beberapa senario yang tidak enak didengar semasa jemaah cuba melakukan solusi ini. Isu yang dilihat remeh inilah yang mengganggu jemaah yang faham tentang maksud sebenar ‘rapat saf’,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ketibaan fasa endemik adalah waktu yang tepat untuk seluruh saf kepimpinan di kementerian agama meneliti semula protokol yang telah dilaksanakan ini.
“Isu bilangan dos vaksin juga ramai yang terkilan dan perlu diperbaharui segera.
“Saya yakin, dengan kedatangan Aidilfitri yang bakal tiba, mampu memberikan cerminan yang lebih baik buat semua jabatan dan agensi di bawah seliaan Menteri Hal Ehwal Agama.
“Lagi bagus, bekerjasamalah dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk saluran maklumat yang lebih berkesan,” katanya.