COVID-19: New Zealand buka sempadan kepada 60 negara
Bagaimanapun pelancong dari China, India masih dihalang hingga Oktober

WELLINGTON, 1 Syawal 1443H, Isnin – New Zealand mengalu-alukan ribuan pelancong dari seluruh dunia pada Isnin, ketika negara itu membuka sempadannya kepada pelawat dari sekitar 60 negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Britain dan Singapura buat kali pertama sejak COVID-19 melanda pada awal 2020.
Pengembara luar disambut dengan coklat popular buatan tempatan di pintu ketibaan Auckland ketika penerbangan pertama dari Los Angeles dan San Fransisco.
Malah, situasi hiba turut menyelubungi pintu ketibaan apabila keluarga menangis sambil berpelukan setelah disatukan semula untuk kali pertama setelah lebih dua tahun.
New Zealand mengenakan beberapa sekatan paling sukar di dunia ketika wabak itu, dan mula melonggarkan langkah bagi meningkatkan sektor pelancongan serta mengurangkan kekurangan tenaga kerja ekoran varian Omicron.
Sempadan dibuka kepada warga New Zealand dan Australia pada Februari serta Mac.
Kini pelawat dari sekitar 60 negara pengecualian visa boleh masuk selagi mereka sudah divaksinasi dan ujian saringan negatif COVID-19. Tiada keperluan untuk kuarantin setakat ini.
Pada Isnin, 43 penerbangan antarabangsa dijadualkan tiba atau berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland yang membawa kira-kira 9,000 penumpang.
Setakat ini, pelancong dari beberapa negara termasuk India dan China terus dihalang dengan ke New Zealand sehingga Oktober nanti. – Agensi