Berita Utama

Kanak-kanak lelaki maut dilanggar motosikal

Mangsa berusia 9 tahun maut di tempat kejadian

ALOR SETAR, 1 Syawal 1443H, Isnin – Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut selepas dilanggar motosikal ketika sedang melintas jalan di Batu 9, Kota Sarang Semut, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, mangsa Muhammad Syafiq Haikal Sahfiee yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Haji Hassan Itam, Simpang Empat, maut di tempat kejadian.

“Polis menerima maklumat kemalangan pada pukul 1.30 tengah hari. Hasil siasatan mendapati motosikal jenis Yamaha Y15 yang ditunggang lelaki berumur 22 tahun, sedang dalam perjalanan dari arah Kota Sarang Semut menghala ke Simpang Empat, manakala mangsa hendak melintas jalan dari arah kanan ke kiri.

“Lelaki yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu sedang bergerak lurus dan mangsa yang melintas jalan secara tiba-tiba, menyebabkan motosikal berkenaan tidak sempat mengelak dan berlaku pelanggaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Shukri berkata mayat kanak-kanak dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk bedah siasat.

“Penunggang motosikal yang mengalami luka di bahagian badan sebelah kanan telah dibawa ke hospital yang sama untuk rawatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button