Berita UtamaDunia

Pemimpin tertinggi Taliban dakwa pentadbirannya berjaya dapatkan kebebasan

Penampilan ke-2 Hibatullah di khalayak umum sejak mengetuai Taliban sejak 2016

KANDAHAR, 1 Syawal 1443H, Isnin – Pemimpin tertinggi Afghanistan, Hibatullah Akhundzada muncul di khalayak awam untuk kali kedua sepanjang enam tahun, dengan menyifatkan pentadbirannya kini berjaya mendapat ‘kemenangan, kebebasan dan kejayaan’ sejak mengambil alih pentadbiran tahun lalu.

Dalam ucapan yang dibuat di Masjid Eidgah, selatan negara itu, Hibatullah dikawal ketat oleh pasukan keselamatan.

“Tahniah atas keselamatan ini dan untuk sistem Islam,” katanya ketika berucap di hadapan ribuan jemaah di Masjid Eidgah di Kandahar.

Katanya, walaupun pengeboman di negara pimpinannya semakin berkurangan sejak Taliban mengambil alih pentadbiran, namun serangan kembali memuncak dalam tempoh dua minggu terakhir Ramadan tahun ini yang mengorbankan puluhan rakyat Afghanistan.

Puluhan orang awam terkorban dalam serangan yang didakwa dilakukan oleh kumpulan ISIS yang menyasarkan ahli kumpulan Syiah dan masyarakat Islam Sufi.

Menurut catatan media sosial, Hibatullah yang menyampaikan ucapan ringkas di masjid berkenaan dikatakan tidak mendongak wajahnya ke arah orang awam.

Malah pihak pentadbiran turut tidak membenarkan media membuat liputan dalam ucapan berkenaan.

Sementara itu, helikopter juga kelihatan berlegar di kawasan masjid sepanjang pemimpin tersebut berada di kawasan berkenaan.

Puluhan pasukan keselamatan Taliban diarahkan mengawal pemimpin utama berkenaan manakala beberapa pemimpin-pemimpin lain yang duduk di bahagian hadapan menghalang daripada rakyat bergambar bersama pemimpin utama tersebut.

Malah penampilan umum Hibatullah tersebut adalah merupakan kali kedua sejak mengetuai Taliban pada 2016. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button