Berita Utama

Penentuan Aidilfitri, rukyah di utama berbanding hisab: Mufti Selangor

'Sebelum perisytiharan dibuat, pihak berkuasa telah lakukan siasatan'

BANGI, 1 Syawal 1443H, Isnin – Hari Raya Aidilfitri atau 1 Syawal 1443H diputuskan jatuh pada hari ini, 2 Mei selepas hilal atau anak bulan telah kelihatan pada tarikh cerapan walaupun dikatakan luar daripada kriteria Imkanurrukyah.

Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir berkata, sebelum perisytiharan dibuat, pihak berkuasa telah melakukan siasatan terhadap penemuan anak bulan oleh saksi sebelum memutuskan sama ada hendak menerima atau menolak kesaksian tersebut.

“Keutamaan diberikan kepada kesaksian berdasarkan rukyah walaupun umat Islam cuma berpuasa 29 hari.

“Perkara itu seperti dinyatakan firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud ‘Barangsiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan (atau mengetahuinya), hendaklah ia berpuasa bulan itu’.

“Situasi itu turut dijelaskan menerusi hadis Nabi Muhammad SAW riwayat al-Bukhari yang bemaksud ‘janganlah kalian berpuasa sehingga melihat hilal, jangan pula kalian berbuka sehingga melihatnya, jika kalian terhalang oleh awan, maka sempurnakanlah hitungannya,” katanya dalam kenyataan.

Dr Anhar turut menjelaskan, kaedah kriteria Imkanurrukyah untuk menentukan bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah digunakan di negara ini sejak 1992.

Penilaian tersebut kemudian ditambah baik bermula awal Muharram pada tahun lalu setelah kajian semakan semula data-data hilal dilakukan bagi tempoh 30 tahun.

“Imkanurrukyah sebagaimana diamalkan oleh Malaysia dan negara-negara serantau sepeti Indonesia, Brunei dan Singapura adalah hilal dianggap boleh kelihatan apabila matahari terbenam tinggi hilal tidak kurang tiga darjah dan elongasi matahari bulan tidak kurang 6.4 darjah,” katanya.

Beliau menambah, kriteria itu dibuat berdasarkan pemerhatian yang berterusan terhadap data dan rekod kenampakan hilal di seluruh dunia.

“Kaedah tersebut menjadi alternatif menurut ilmu falak dalam membentuk satu takwim hijriah yang sistematik dan saintifik serta tidak bertentangan dengan kehendak syarak termasuklah dalam menentukan permulaan Ramadan dan Syawal,” ujarnya.

Semalam, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan perisytiharan Hari Raya Adilfitri pada hari ini.

Bagaimanapun pengumuman tersebut mengejutkan orang ramai apabila Aidilfitri tiba awal sehari berbanding jangkaan pada 3 Mei.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button