Berita Utama

Wajib qada bayar zakat fitrah jika belum tunai tanggungjawab: Mufti

Segera laksana tanggungjawab elak berlaku dosa

BANGI, 2 Syawal 1443H, Selasa – Menjadi kewajipan kepada umat Islam yang belum membayar zakat fitrah untuk qada bayaran tersebut walaupun telah lewat daripada masa ditentukan

Perkara berkenaan dijelaskan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad yang menjelaskan terdapat hukum mengenai peringatan waktu untuk seseorang umat Islam yang merdeka iaitu golongan tua atau muda, lelaki atau perempuan dan berakal untuk membayar zakat fitrah.

“Hukum harus bermula dari awal bulan Ramadan hingga akhir bulan Ramadan manakala hukum wajib membayarnya pula apabila terbenam matahari pada akhir Ramadan dan berakhir sebelum terbenam matahari 1 Syawal

“Sekiranya memasuki 2 Syawal dan masih tidak membayar zakat tersebut menjadi perkara wajib untuk menqada niat zakat fitrah,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Sementara itu, Imam Masjid Bandar Kuala Krai, Armin Azahari Mamat menyeru semua umat Islam supaya segera menunaikan kewajipan zakat fitrah kerana berdosa sekiranya tidak melaksanakannya.

“Memandangkan baru-baru ini umat Islam menjangkakan 1 Syawal jatuh pada 3 Mei mungkin ramai tidak sempat untuk membayar zakat fitrah pada akhir Ramadan lepas.

“Saya seru semua umat Islam supaya segera menunaikan kewajipan ini, jangan tangguh atau tunggu Ramadan tahun depan untuk membayarnya kerana berdosa sekiranya tidak melaksanakannya,” katanya.

Katanya, zakat fitrah dibayar untuk dikongsi kepada orang yang memerlukan (fakir dan miskin) bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button