Berita Utama

2 remaja maut, motosikal bertembung pacuan 4 roda

Mangsa berusia 18 tahun maut di lokasi kejadian

KUANTAN, 2 Syawal 1443H, Selasa – Dua remaja maut selepas motosikal ditunggang mereka bertembung dengan sebuah pacuan empat roda, di Kilometer 23 Jalan Pekan/Batu Balik di Pekan, semalam.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zain berkata kejadian pada 5.30 petang itu, menyebabkan kedua-dua mangsa berusia 18 tahun yang dipercayai dalam perjalanan untuk beraya, maut di lokasi kejadian.

Mereka ialah penunggang motosikal Muhammad Nur Zulkefli Zakaria dan pembonceng Muhammad Ibrahim Mhd Kchairudin, dengan kedua-duanya berasal dari Kampung Temai Tengah dan Temai Hilir, Pekan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa dari Pekan ke Batu Balik terbabas semasa mengambil selekoh, lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung Mitsubishi Triton dinaiki dua beranak,” katanya menerusi kenyataan di sini.

Mohd Zaidi berkata jenazah mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button