Berita Utama

28 kes kematian dicatat pada 1 Syawal di seluruh negara

Selangor catat kes kemalangan tertinggi dengan 248

BANGI, 2 Syawal 1443H, Selasa – Sebanyak 28 kematian akibat kemalangan jalan raya dicatatkan di seluruh negara pada hari pertama sambutan Aidilfitri, semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, jumlah berkenaan merupakan angka tertinggi dalam tempoh empat hari Op Selamat 18 dilancarkan pada 29 April lalu.

“Daripada 28 kes kematian berkenaan membabitkan 25 kemalangan maut yang direkodkan sepanjang 24 jam dengan penunggang dan pembonceng motosikal mencatat angka tertinggi iaitu 19 kematian.

“Angka kematian lain membabitkan enam pemandu dan penumpang kereta, pejalan kaki (dua) dan pemandu jip (satu).

“Secara keseluruhan, sebanyak 1,353 kes kemalangan dilaporkan di seluruh negara semalam,” katanya seperti dipetik Berita Harian, hari ini.

Razarudin menjelaskan, Selangor mencatatkan kes tertinggi dengan 248 kes, diikuti Johor (193), Perak (138), Kedah (123) dan Pulau Pinang (101).

“Hari pertama Op Selamat 18 pada 29 April lalu menyaksikan 10 kemalangan maut dicatatkan, sebelum meningkat dengan 17 kemalangan maut dan 18 kematian pada hari kedua.

“Manakala hari ketiga merekodkan 20 kemalangan maut dengan 20 kematian dicatatkan,” katanya.

Razarudin menambah, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan 72 kemalangan maut direkodkan dengan keseluruhan 76 kematian dicatatkan dalam tempoh empat hari Op Selamat 18 sempena Aidilfitri.

Katanya, Selangor masih mencatat jumlah kemalangan tertinggi iaitu 1,650 kes, diikuti Johor (920), Kuala Lumpur (688), Perak (674), Pulau Pinang (597), Kedah (422), Pahang (380), Negeri Sembilan (323) dan Kelantan (319).

“Rekod turut menunjukkan kebanyakan kemalangan berlaku di jalan bandaran dengan 2,925 kes, diikuti jalan Persekutuan (1,383), jalan negeri (1,307), lebuh raya (731) dan jalan-jalan lain (568).

Beliau dalam masa sama berkata, sebanyak 211,235 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik kepada pemandu dan pemilik kenderaan sejak Op Selamat 18 dilancarkan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button