600 rakyat Palestin ditahan Israel tanpa tuduhan
Tentera Israel tak jawab permintaan ulas angka tahanan terkini

BAITULMAQDIS, 2 Syawal 1443H, Selasa – Israel menahan kira-kira 600 tahanan Palestin tanpa tuduhan atau perbicaraan, jumlah tertinggi sejak 2016, kata kumpulan hak asasi Israel.
HaMoked, sebuah kumpulan hak asasi Israel yang kerap mengumpul angka daripada pihak berkuasa penjara berkata, pada hari Isnin bahawa sehingga Mei terdapat 604 tahanan yang ditahan sebagai tahanan pentadbiran.
Hampir kesemuanya adalah warga Palestin, kerana penahanan pentadbiran sangat jarang digunakan terhadap orang Yahudi.
Tahanan ini tidak dibenarkan membela diri di mahkamah. Mereka biasanya ditahan untuk tempoh enam bulan yang boleh diperbaharui dan selalunya membawa kepada tahanan bertahun-tahun.
Walaupun Israel berkata prosedur itu membolehkan pihak berkuasa menahan suspek sambil terus mengumpul bukti, pengkritik dan kumpulan hak asasi manusia berkata, sistem itu disalahgunakan secara meluas dan menafikan proses sewajarnya.
HaMoked berkata, 2,441 rakyat Palestin kini sedang menjalani hukuman selepas disabitkan kesalahan di mahkamah tentera.
Seramai 1,478 lagi tahanan ditahan untuk disoal siasat, telah didakwa dan sedang menunggu perbicaraan, atau sedang dibicarakan.
Tentera Israel tidak menjawab permintaan untuk mengulas mengenai angka terkini. – Agensi