Berita UtamaDunia

Biden patut dipersalahkan atas krisis tenaga AS, kata bekas ketua perisikan Saudi

Biden buat dasar putuskan semua hubungan dengan industri minyak, gas

RIYADH, 2 Syawal 1443H, Selasa – Bekas ketua perisikan dan duta Arab Saudi, Putera Turki al-Faisal menolak dakwaan bahawa kerajaan itu bersalah atas kenaikan harga bahan tenaga di Amerika Syarikat (AS), sebaliknya meletakkan kesalahan pada pentadbiran Joe Biden.

“Apabila anda mengatakan bahawa Arab Saudi tidak berganjak dalam isu masalah minyak yang sedang dihadapi oleh Amerika, pada asasnya Amerika sendiri adalah punca keadaan mereka sekarang kerana dasar tenaga mereka,” kata Faisal.

Pada bulan Oktober, Biden secara langsung menuduh Opec, sekumpulan pengeluar minyak termasuk Arab Saudi, yang merupakan pengeluar minyak mentah terkemuka organisasi itu, menahan bekalan dan menaikkan harga petrol di AS.

Gesaan agar kerajaan itu meningkatkan pengeluaran hanya dipercepatkan selepas pencerobohan Russia ke atas Ukraine memburukkan lagi kenaikan harga tenaga, dengan harga purata nasional bagi petrol di AS mencecah paras tertinggi pada Mac sebanyak $4.17 segelen.

Keadaan itu telah memacu peningkatan inflasi dan dilihat sebagai menjejaskan harapan parti Biden untuk pilihan raya pertengahan tahun ini.

Manakala, Faisal yang berpangkalan di Riyadh, menegaskan dasar pentadbiran Biden bertanggungjawab terhadap kenaikan harga petrol AS.

“Presiden Biden yang menjadikan dasar kerajaan AS untuk memutuskan semua hubungan dengan industri minyak dan gas, dan dia menyekat pengeluaran minyak dan pengeluaran gas di AS…yang telah menjadi punca menaikkan harga minyak,” kata Faisal.

Arab Saudi membekalkan AS dengan kira-kira lima peratus daripada import minyak mentah serta petroleumnya, dan status sebagai rumah kepada rizab minyak kedua terbesar di dunia, bersama dengan keupayaan untuk meningkatkan atau menurunkan pengeluaran, memberikannya kuasa untuk mempengaruhi pasaran tenaga.

Bagaimanapun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, AS telah muncul sebagai salah satu pengeluar minyak terbesar dunia. 

Itu telah membolehkan AS secara drastik mengurangkan pergantungannya kepada bekalan asing tetapi juga telah mencetuskan kritikan di kalangan banyak pihak progresif dalam parti Biden yang mendesak peralihan pantas kepada tenaga hijau. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button