Berita Utama

Ciri baharu MySejahtera kesan lokasi penyakit berjangkit

Pengguna boleh lihat kawasan titik panas penyakit selain COVID-19

BANGI, 2 Syawal 1443H, Selasa – Aplikasi MySejahtera kini dikemas kini dengan ciri-ciri baharu bagi mengesan penyakit berjangkit (Infectious Disease Tracker) termasuk penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata dengan fungsi terbaharu itu, pengguna boleh melihat kawasan titik panas penyakit selain COVID-19, seperti demam campak, rabies, HFMD dan demam denggi.

“Update terkini MySejahtera memperkenalkan ciri baharu. Boleh tengok penyakit berjangkit seperti HFMD,” katanya menerusi ciapan di akaun Twitternya hari ini.

Beliau turut berkongsi dua tangkap layar kemas kini aplikasi berkenaan.

Sebelum ini Khairy memaklumkan fungsi HotspotTracker yang dahulu digunakan untuk menjejak kawasan titik panas kes COVID-19 akan diubah sebagai Infectious Disease Tracker.

Beliau berkata kawasan berkenaan akan ditentukan berdasarkan jumlah kes aktif di kawasan lingkungan pengguna untuk setiap penyakit berjangkit.

Sementara itu Khairy menasihati orang ramai agar terus menggunakan pelitup muka apabila berada di tempat tertutup atau sesak.

“Saya harap sambutan Aidilfitri anda ceria pada Raya kedua. Terus pakai pelitup muka di kawasan tertutup dan/atau sesak. Jika bergejala buat ujian kendiri & lapor di @my_sejahtera,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button