Berita Utama

Perak sediakan 1,000 RTK-Ag kepada 59 pusat khidmat ADUN

Sebagai langkah berjaga-jaga hadapi COVID-19 ketika musim perayaan

IPOH, 2 Syawal 1443H, Selasa – Kerajaan Perak melalui jabatan kesihatan negeri akan menyediakan 1,000 Kit Ujian Pantas Antigen (RTK-Ag) percuma kepada setiap 59 pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi COVID-19 ketika musim perayaan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Mohd Akmal Kamarudin berkata pemberian kit dalam masa terdekat itu diharap dapat mengawal dan memutuskan rantaian COVID-19 pada peringkat awal.

“Sebanyak 1,000 RTK-Ag ini akan diagihkan kepada setiap pusat khidmat ADUN dan seterusnya diedarkan kepada rakyat,” katanya ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya anjuran kerajaan negeri di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata setakat ini tiada keperluan untuk membuka pusat kuarantin di negeri itu memandangkan sistem kesihatan semakin baik dan pesakit COVID-19 boleh menjalani kuarantin di rumah.

“Kebanyakan pesakit COVID-19 berada di kategori satu dan dua dengan mereka hanya menjalani kuarantin di rumah serta boleh sembuh dalam masa dua ke tiga hari,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button