Berita Utama

Polis kesan pemandu 2 kenderaan pandu secara bahaya

Pemandu memotong di lorong kecemasan, ubah haluan secara tiba-tiba

SEREMBAN, 2 Syawal 1443H, Selasa – Polis sedang mengesan pemandu dua buah kenderaan yang dipandu secara berbahaya di Lebuh Raya Utara Selatan selepas rakaman video kejadian berkenaan tular di media sosial, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, sebuah kereta disyaki jenis Audi berwarna kelabu bersama sebuah kereta jenis Toyota Wish berwarna hitam dikesan dipandu secara berbahaya.

“Pada 1 Mei lalu, lebih kurang jam 8 malam tular satu rakaman video berdurasi satu minit 40 saat yang memaparkan kejadian tersebut.

“Siasatan mendapati kejadian tular tersebut berlaku pada hari yang sama anggaran waktu sekitar tengah hari.

“Kedua-dua kenderaan tersebut telah dipandu secara berbahaya dengan aksi mengubah haluan secara tiba-tiba (zig-zag) di Lebuh Raya Utara-Selatan antara Kilometer 269 hingga Kilometer 238 arah Selatan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menegaskan, perbuatan ini boleh mendatangkan bahaya pada diri sendiri dan pengguna lebuh raya yang lain.

Bukan itu sahaja, rakaman video tersebut turut memaparkan tindakan pemandu kenderaan terbabit memotong di lorong kecemasan.

“Pemilik atau pemandu kenderaan terlibat diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button