Berita UtamaDunia

Tak cukup dana, Israel minta lagi bantuan AS$1 bilion dari AS

Rejim pengganas mahu isi semula Iron Dome, perkuat sistem peluru berpandu

WASHINGTON, 21 Syawal 1442H, Rabu – Walaupun sudah menjadi penerima bantuan terbesar dari Washington, dengan dana ketenteraan sebanyak AS$3.8 bilion setiap tahun, tidak menghalang Israel untuk meminta lebih lagi.  

Seorang senator Amerika Syarikat (AS) mendedahkan bahawa rejim Tel Aviv sedang mempersiapkan permintaan untuk dana tambahan sebanyak AS$1 bilion daripada Pentagon untuk menambah baik sistem peluru berpandu selepas perang terbaharu di Semenanjung Gaza yang terkepung.

Senator Republik, Lindsey Graham meminta Kongres segera meluluskan permintaan Tel Aviv untuk mendapatkan dana tambahan.

Graham membuat kenyataan itu dalam wawancara dengan Fox News dari Baitulmaqdis pada hari Selasa, setelah bertemu dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Benny Gantz.

“Akan ada permintaan AS$1 bilion yang akan dibawa ke Pentagon minggu ini daripada Menteri Pertahanan (Israel) untuk mengisi semula Iron Dome dan beberapa perkara lain, untuk meningkatkan sistem.

“Setiap kali ada pihak berusaha untuk menghancurkan Israel, kita akan respon dengan memberi lebih banyak bantuan,” katanya.

Gesaan untuk mendapatkan lebih banyak bantuan AS muncul pada hari yang sama rejim Tel Aviv melaporkan, bahawa Israel mencatatkan jumlah eksport ketenteraan tertinggi pada tahun 2020 iaitu AS$8.3 bilion.

Sebelum ini, pentadbiran Joe Biden telah menimbulkan kontroversi dengan membenarkan penjualan senjata bernilai ratusan juta dolar kepada Israel.

Penjualan senjata berpandu ketepatan tinggi bernilai AS$ 735 juta kepada Israel berlaku ketika rejim Tel Aviv melakukan kempen berdarah pengeboman udara dan serangan terhadap rakyat Palestin di Gaza. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button