20 kubur Islam, Kristian di Sweden sengaja dirosakkan
Banyak batu nisan diconteng cat merah oleh individu tak dikenali

STOCKHOLM, 3 Syawal 1443H, Rabu – Sekurang-kurangnya 20 kubur kepunyaan orang Islam dan penganut Kristian Ortodoks di tanah perkuburan bandar Malmo, selatan Sweden telah dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Jurucakap polis, Nils Norling berkata, banyak batu nisan turut diconteng dengan cat merah oleh individu tidak dikenali itu.
Terdahulu, akhbar Swedish SvD melaporkan bahawa kira-kira 20 kubur dirosakkan dan perbuatan itu disedari ketika umat Islam menziarahi tanah perkuburan ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Susulan kejadian itu, laporan polis telah dibuat ke atas perbuatan vandalisme berkenaan.
Polis Sweden berkata, mereka belum mempunyai sebarang maklumat mengenai pelaku kejadian itu dan meminta saksi untuk tampil memberikan maklumat. – Agensi