Dunia

Keadaan makin kritikal, Khalil Awawdeh dipindah ke hospital

Israel masih tolak permohonan penahanan pentadbiran ditamatkan

RAMALLAH, 3 Syawal 1443H, Rabu – Tahanan Palestin yang mogok lapar selama lebih tiga bulan telah dipindahkan ke hospital berikutan keadaan kesihatannya semakin merosot, menurut Suruhanjaya Hal Ehwal Banduan.

Jurucakap suruhanjaya, Hassan Abed-Rabbu berkata, Perkhidmatan Penjara Israel (IPS) memutuskan untuk memindah Khalil Awawdeh dari klinik Penjara Ramleh ke Hospital Assaf Harofeh yang berpangkalan di Tel Aviv berikutan kemerosotan itu.

Katanya, keputusan berkenaan diambil ketika perbicaraan mahkamah mengenai kesnya atas permintaan peguam.

Khalil, 40, dari bandar Idhna di daerah selatan Tebing Barat, telah melancarkan mogok lapar selama 63 hari sebagai membantah penahanan pentadbiran ke atasnya yang dilakukan tanpa pertuduhan atau perbicaraan.

Dia ditahan pada 27 Disember 2021 di sel kurungan bersendirian di kemudahan tahanan terkenal Ofer, barat Ramallah sebelum dipindahkan ke klinik Penjara Ramleh berikutan kemerosotan tahap kesihatannya.

Khalil dilaporkan mengalami sakit kepala, sakit sendi, keletihan, aritmia, muntah yang kerap serta kehilangan berat badan ketara sehingga lebih 20 kilogram.

Sehingga kini, IPS terus menolak untuk mempertimbang permohonannya supaya penahanan pentadbiran ke atasnya ditamatkan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button