Berita Utama

Nasib guru kontrak perlu dibela, serap segera atau lanjut kontrak: i-Guru

Setakat ini tiada pengumuman rasmi daripada KPM

BANGI, 3 Syawal 1443H, Rabu – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindakan segera bagi membela nasib guru kontrak perkhidmatan (COS).

Presidennya, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, antara perkara yang boleh dilaksanakan adalah menyerap ke perjawatan tetap atau melanjutkan perkhidmatan kontrak.

Gesaan itu dibuat susulan maklumat terdapat 2,506 guru kontrak yang akan ditamatkan kontrak perkhidmatan pendidikan pada bulan Jun nanti. 

Mereka adalah guru kontrak ambilan Jun 2020 di dalam bidang Sejarah, Pendidikan Jasmani, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam.

“Setakat ini tiada pengumuman rasmi dari pihak KPM berhubung nasib guru kontrak tersebut sama ada mereka diserap sebagai perjawatan tetap atau dilanjutkan kontrak mereka.

“Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin sekadar memaklumkan sudah ada perbincangan antara KPM dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan untuk diambil tindakan berkaitan hal tersebut.

“Kita difahamkan guru kontrak ini sedang mengikuti pengajian diploma lepasan ijazah bidang pendidikan dan telah menandatangani perjanjian kerja kontrak dua tahun mereka pada 10 Jun 2020,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, i-Guru menggesa pihak KPM segera menangani nasib guru kontrak dengan dua cadangan.

“Pertama, KKM disyorkan menyerap guru-guru ini ke perjawatan tetap dengan membuat lantikan melalui SPP.

“Kedua, melanjutkan kontrak perkhidmatan mereka untuk tempoh tertentu dan diberi jaminan untuk lantikan.

“i-Guru melihat pengalaman mereka semasa tempoh perkhidmatan kontrak perlu dimanfaatkan mengambil kira minat dan latihan semasa di sekolah serta minat di dalam pendidikan,” katanya.

Terdahulu, Radzi dilaporkan berkata beliau mengambil maklum nasib sekumpulan guru yang akan tamat kontrak pada bulan depan.

Beliau berkata, KPM dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) sedang mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan dan tatacara yang berkuat kuasa.

“Pengumuman akan dibuat selepas proses tersebut selesai,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button