Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Op Selamat 18: Lebih 4,000 saman dikeluarkan polis Melaka

981 saman dikeluarkan secara bersemuka kepada pesalah trafik

MELAKA, 3 Syawal 1443H, Rabu – Polis Melaka mengeluarkan 4,477 saman dalam tempoh lima hari pelaksanaan Op Selamat 18 sempena Hari Raya Aidilfitri sejak 29 April lepas.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka Supt Amran @ Mohamad Zaki Omar berkata daripada jumlah itu, sebanyak 3,496 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan yang diletakkan pada kenderaan tanpa kehadiran pemandu atau tanpa ditahan polis.

Beliau berkata sebanyak 981 saman dikeluarkan secara bersemuka kepada pesalah trafik sebaik sahaja mereka dikesan melanggar kesalahan lalu lintas.

“Melaka Tengah mencatatkan pengeluaran saman tertinggi iaitu sebanyak 3,691 saman diikuti Jasin (687 saman) dan Alor Gajah (98 saman).

“Selain itu, sebanyak 340 kes kemalangan jalan raya dicatatkan dalam tempoh lima hari berkenaan berbanding 291 kes kemalangan dalam tempoh sama pada Op Selamat 15 sempena Hari Raya Aidilfitri,” katanya kepada pemberita ketika membuat tinjauan aliran trafik di Tol Ayer Keroh di sini hari ini.

Beliau berkata dalam tempoh sama tahun ini, sebanyak dua kemalangan maut direkodkan berbanding tiga kemalangan maut pada Op Selamat terdahulu.

Katanya kes kemalangan maut berkenaan melibatkan penunggang motosikal yang merupakan golongan berisiko tinggi terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Amran berkata polis Melaka akan meneruskan pendekatan secara penguatkuasaan menyeluruh dan penyuraian trafik di 12 jalan yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan jalan raya di negeri berkenaan.

Beliau berkata jalan berkenaan melibatkan lima lokasi di Melaka Tengah, Alor Gajah (empat lokasi) dan Jasin (tiga lokasi).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button