PAS tak terancam dengan gabungan baharu mahu tumbangkan parti
Bahagian Kelantan akan bertindak balas, berpandu arahan PAS pusat

TUMPAT, 3 Syawal 1443H, Rabu – PAS tidak berasa terancam dengan gabungan baharu, Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan yang ditubuhkan untuk menumbangkan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya bersedia menghadapi kesan daripada strategi gabungan itu.
Beliau berkata, perancangan seperti itu biasa dalam politik semasa dan mana-mana parti boleh membuat apa saja perancangan, selagi tidak bercanggah dengan Perlembagaan negara.
Namun, PAS Kelantan akan bertindak balas, berpandu arahan dan keputusan PAS pusat.
“Masing-masing membuat persiapan. Apapun, kita berpandu kepada arahan dan keputusan pusat,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan, hari ini.
Terdahulu, dilaporkan bahawa sebuah gabungan baharu iaitu Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan ditubuhkan dengan hasrat menumbangkan PAS di Kelantan pada PRU15 nanti.
Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamed memaklumkan gabungan yang diketuai Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah itu akan mengadakan program pertamanya pada 7 Mei ini.