Berita UtamaPendapat

Kartel daging sejuk beku jahanamkan industri halal Malaysia

Peniaga kecil daging, ayam import hadapi isu ketidakpercayaan

1.KES Kartel Daging Sejuk Beku 30 Tan Tipu Label Halal memang menggemparkan negara.

Kes ini amat besar kesannya dan akan memecah rekod baru.

Sekalung tahniah diucapkan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Sinar Harian yang berjaya membongkar isu ini.

Sebagai pengguna, saya pun tidak tahu bagaimana mahu membezakan label halal yang asli atau palsu.

Jika saya pegawai perolehan di pasaraya besar pun, apa yang saya boleh buat bila semua dokumen yang diberi oleh pembekal adalah cukup?

2.Untuk makluman, semua produk daging yang diimport masuk ke Malaysia wajib mempamer sijil Halal (rujuk Perintah Kastam [Larangan Mengenai Import] 1988).

Kastam bertanggungjawab menjaga pintu masuk negara dari daging dan ayam tak halal. Justeru, saya merayu pihak kastam segera mengetatkan kawalan.

3.Saya juga merayu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) segera mengesan di mana lokasi produk seludup ini, lalu segera menariknya dari pasaran.

KPDNHEP juga perlu menjelaskan, logo palsu mana yang terlibat dalam penipuan ini.

4.Yang paling kasihan adalah peniaga kecil daging dan ayam import.

Mereka akan menghadapi isu ketidak percayaan masyarakat terhadap produk mereka.

Jika terbukti daging dan ayam yang mereka beli dari pengimport adalah tidak halal, mereka tidak boleh menjualnya kepada orang ramai.

5.Eksekutif halal pula perlu segera menyemak sama ada syarikat mereka terbeli produk yang dipalsukan ini.

Sememangnya dalam sesetengah kes, Eksekutif Halal perlu melakukan pengesahan melebihi daripada apa yang disyaratkan dalam manual prosedur.

Cadangan saya, gunakan rapid test kit, atau analisa makmal atau pengesahan dengan badan halal luar negara terbabit. Jangan hanya bergantung kepada dokumentasi.

5.Berkenaan hukum makan daging sejuk beku yang dibeli dari pasar raya, saya berpandangan masyarakat perlu menunggu keputusan fatwa nasional dan negeri.

Buat masa ini, belilah daging dan ayam sejuk beku keluaran tempatan yang ada logo halal Malaysia sahaja.

Hal ini kerana kita pun tidak tahu label halal yang ada pada daging import berkenaan asli ataupun palsu.

Kaedah memastikan keaslian label halal daging import hanya satu, iaitu membuat verifikasi label halal dengan pengeluar sijil halal asal yang berada di luar negara.

7. Industri halal perlu mula serius melabur (invest) dalam pembangunan iman dan integriti di seluruh sistem.

Kawalan undang-undang tetap akan tempang tanpa iman, amanah dan akauntabiliti kepada tuhan.

Perkara ini sudah tercatat dalam MS1900 dan MS2300 yang dibaca bersama MS2400 logistik halal.

Kes kartel ni memang berkait rapat dengan isu logistik dan pengimportan.

8. Jika pintu masuk perdagangan negara dijaga oleh pihak dan sistem yang berpaksikan kepada sistem ketuhanan, dengan beriman kepada hari akhirat dan percaya syurga neraka, banyak isu halal negara dapat diselesaikan.

Satu athar salaf menyebutkan: “Setiap muslim adalah kubu pertahanan Islam, dan waspadalah agar musuh tidak masuk melaluimu” (Kitabus Sunnah oleh Muhammad Bin Nasr Al-Marwazi). Namun, jika pintu masuk sudah tak berfungsi, segala tata kelola Halal selepasnya akan jadi ‘put into dustbin’.

9. Industri halal juga perlu melabur dalam block chain untuk mengukuhkan komponen kebolehkesanan (traceability), dan jadikan ia accessible kepada pengguna.

Kita harap suatu masa nanti, document forgery dapat dikawal sepenuhnya.

Saya pernah mendengar Kementerian Pendidikan Malaysia mula menggunakan block chain untuk mengatasi masalah penipuan sijil pengajian. Kita boleh belajar dari situ.

10. Kepada para pengguna, suarakan hak anda.

Jangan pandang remeh isu halal. Biarlah kita syadid (ambil pendekatan ketat), asalkan kita tidak ditipu.

Banyak isu halal boleh selesai jika akta perlindungan pengguna diperkasakan.

Semua ini memerlukan suara-suara pengguna yang cakna dengan hak mereka.

Tapi, pengguna sendiri tidak kisah isu halal, amat minimalah protection yang boleh dibuat kepada masyarakat kita.

Ustaz Bilal Jailani 
Ahli Majlis Ulama Isma (MUIS)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button