Undang-undang Anti Lompat Parti perlu dilaksana sebelum PRU15
Tak mahu perkara sama seperti tahun 2020 berulang: Wan Junaidi
KUCHING, 3 Syawal 1443H, Rabu – Undang-undang Anti Lompat Parti perlu dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
“Pada saya, lebih baik kita laksanakan undang-undang sebelum pilihan raya umum, kerana kita tidak mahu perkara yang berlaku (pada 2020) berulang.
“Sekiranya undang-undang tidak bersedia apabila kita mengadakan pilihan raya, wakil rakyat boleh melompat ke kiri dan ke kanan selepas itu,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.
Ahli Parlimen Santubong itu merujuk kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada 2020 selepas beberapa Ahli Parlimen menarik diri daripada gabungan itu, dengan sebahagian daripada mereka bertukar parti.
Wan Junaidi juga berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai cadangan undang-undang, yang dipengerusikannya, belum mencapai keputusan muktamad dalam penyempurnaan rang undang-undang itu.
Beliau berkata, jawatankuasa itu dijadualkan bermesyuarat semula pada 12 Mei.
“Ini adalah jawatankuasa yang berkuasa dengan pakar undang-undang yang berpengalaman, jadi saya yakin kita boleh menyelesaikan apa sahaja isu yang ada dengan rang undang-undang yang dicadangkan,” katanya.
Tambahnya, sebaik penelitian selesai, terpulang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memutuskan bila rang undang-undang itu akan dibentangkan di Parlimen, sama ada pada sesi Julai yang dijadualkan atau sidang khas sebelum itu.