Berita Utama

Bayaran dam, korban kini boleh dibuat melalui aplikasi THiJARI

Diterima untuk Dam Haji Tamattu' dan Dam Haji Qiran

KUALA LUMPUR, 4 Syawal 1443H, Khamis – Bayaran dam dan korban kini boleh dibuat melalui aplikasi THiJARI untuk bakal jemaah haji yang akan melaksanakan Rukun Islam kelima pada musim haji tahun 1443H/2022. 

Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi Lembaga Tabung Haji (TH), Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata, bakal haji kini boleh membuat pembayaran dam sebelum ke tanah suci.

Jelasnya, ia seiring dengan keputusan Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji yang menggalakkan pelaksanaan bayaran pada kadar yang ditentukan sebelum sampai di tanah suci.

“Pembayaran dam yang diterima ialah untuk Dam Haji Tamattu’ dan Dam Haji Qiran, di mana daging dam itu akan diagihkan kepada penduduk yang layak di Tanah Suci Makkah.

“Bagi daging korban pula akan diagihkan oleh Bank Pembangunan Islam (IDB) kepada penduduk Islam yang layak terutama di benua Afrika.

“Pembayaran dam adalah pada kadar RM590 bagi seekor kibas, manakala pembayaran korban pada kadar RM955.80 untuk seekor kibas dan RM5,900 untuk seekor lembu. Ia boleh dilaksanakan melalui THiJARI bermula Isnin depan atau 9 Mei 2022 bersamaan 7 Syawal 1443H,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain di aplikasi, Mohamed Ameen berkata, bakal haji dan pendeposit juga boleh membuat bayaran di mana-mana pejabat TH cawangan di seluruh negara.

“Pelaksanaan korban ini adalah kerjasama TH dengan IDB yang berpangkalan di Jeddah. Ia juga buat julung kalinya bukan saja dibuka kepada bakal haji, tetapi kepada semua pendeposit TH,” katanya.

Bukan hanya bayaran dam, Mohamed Ameen berkata, perkhidmatan korban juga adalah satu lagi perkhidmatan baharu ditawarkan TH kepada pendeposit melalui THiJARI.

“Untuk menggunakan perkhidmatan pembayaran dam dan korban, bakal haji dan pendeposit TH perlu mendaftar sebagai pengguna THiJARI melalui pautan www.thijari.com.my yang amat mudah dan selamat.

“Setakat ini, jumlah pengguna THiJARI sudah pun mencecah hampir 1.5 juta. 

“THiJARI kini menawarkan pelbagai perkhidmatan dalam talian antaranya pindahan melalui FPX, permohonan pembukaan akaun TH, rayuan haji, kemas kini maklumat peribadi dan yang terbaru adalah Semakan Terimaan Tawaran Haji serta banyak lagi,” katanya.

Bagi sebarang pertanyaan, sila hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian +603 – 6207 1919 atau faks di +603 – 7728 4959 dan e-mel, [email protected]

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button