Berita Utama

Gabungan di Kelantan: Tindakan ‘mamai’ Ku Li bawa bala jika diteruskan

Tindakan Ku Li hanyalah untuk tingkatkan pengaruh dirinya sahaja

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 4 Syawal 1443H, Khamis – Langkah Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah membentuk Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan demi menumbangkan PAS bakal menimbulkan masalah dalaman kepada UMNO.

Penganalisis politik, Prof Dr jeniri Amir berkata, tidak sepatutnya Tengku Razaleigh atau Ku Li membuat tindakan yang besar tersebut tanpa pengetahuan dan persetujuan Majlis Tertinggi UMNO.

“Saya melihat ia suatu yang aneh dan tidak harus dilakukan oleh pemimpin yang berpengalaman luas dalam politik dan sekiranya diteruskan ia bakal membawa implikasi besar kepada parti UMNO sendiri.

“Tidak dinafikan Ku Li mempunyai pengaruh besar di Gua Musang namun tindakannya kali ini adalah langkah yang silap yang boleh menghuru-harakan lagi keadaan.

“Bukan itu sahaja ia boleh mengeruhkan semula hubungan PAS, UMNO yang dalam proses untuk berbaik semula,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Ku Li mengadakan pertemuan bersama pimpinan Amanah bagi membentuk gabungan menumbangkan pentadbiran PAS di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)

Dalam pada itu, Prof Jeniri mendakwa, tindakan Ku Li berkenaan hanyalah untuk tingkatkan pengaruh dirinya.

“Hakikatnya beliau lupa zaman kegemilangannya sudah berakhir dan usia senjanya tidak lagi mampu mengembalikan pengaruh kuatnya di negeri itu kerana masyarakat di sana lebih bersedia untuk memilih pemimpin muda dan bertenaga selain memiliki ketokohan kepimpinan,” katanya.

Beliau dalam masa sama turut mempersoalkan apakah keistimewaan Amanah Kelantan sehingga mendorong Ku Li untuk bekerjasama sedangkan parti tersebut terdiri dalam kalangan ‘orang buangan PAS’.

“Amanah tidak berpengaruh di Kelantan dan kedudukan di negeri itu juga tidak stabil tetapi kenapa Ku Li tidak melihat perkara itu,” persoalnya lagi.

Sebaliknya, Prof Jeniri mendakwa tindakan ‘mamai’ Ku Li itu diyakini membawa bala sekiranya direalisasikan.

Malah ia dijangka mengeruhkan semula hubungan PAS dan UMNO di negeri itu yang kini berada dalam keadaan baik.

“Ini akan menimbulkan kemarahan dalam kalangan PAS sendiri kerana parti juga telah ‘membuang’ Amanah tetapi sanggup dikutip semula oleh pemimpin lama UMNO sendiri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button