Berita Utama

Gaji minimum RM1,500 sebulan tak termasuk OT, elaun: Saravanan

Kenaikan kadar gaji tingkatkan harga barang, kata Presiden Persatuan PKS

KUALA LUMPUR, 4 Syawal 1443H, Khamis – Gaji minimum RM1,500 sebulan adalah khusus untuk gaji pokok dan tidak termasuk elaun serta bekerja lebih masa, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

“Ia adalah gaji pokok,” katanya ketika dihubungi akhbar tempatan, The Star.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia, Ding Hong Sing berkata, lebih 90 peratus rakyat Malaysia yang bekerja dengan PKS sudah menerima RM1,500 atau lebih setiap bulan jika elaun dan lain-lain diambil kira.

Beliau berkata, majikan mungkin terpaksa memotong elaun pekerja mereka kerana kadar gaji pokok telah meningkat.

Ding berkata, jika gaji pokok RM1,500, majikan mungkin terpaksa mengurangkan elaun kerana ini adalah satu bentuk insentif berikutan kadar gaji mereka yang rendah.

Bagaimanapun, beliau berkata, majikan tidak kisah menaikkan kadar gaji, termasuk elaun sehingga RM2,500 jika pekerja berprestasi baik dan sekiranya majikan mampu.

“Pekerja asing mendapat RM1,200 kerana kita perlu menyediakan tempat tinggal, membayar levi dan pemeriksaan perubatan Sistem Saringan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing. Bila masukkan semua itu lebih RM1,500,” kata Ding.

Beliau berkata, penguatkuasaan gaji minimum baharu akan menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan kerana kos majikan akan meningkat.

“Harga barangan akan meningkat sebanyak 15 peratus hingga 30 peratus.

“Tiada pilihan kerana gaji meningkat 25 peratus (dari gaji minimum RM1,200 sebelum ini) manakala di luar bandar 36 peratus,” katanya, menjangka satu lagi pusingan kenaikan harga bulan ini.

Ding juga berkata, majikan yang tidak mampu membayar gaji asas kepada pekerja mereka sebanyak RM1,500 mungkin terpaksa mengecilkan tenaga kerja mereka atau – dalam senario terburuk – menutup kedai.

“Mereka yang boleh bertahan akan menaikkan harga barangan mereka,” tambahnya.

Kadar gaji minimum baharu RM1,500 – yang diterjemahkan kepada RM7.21 sejam – berkuat kuasa pada 1 Mei.

Ini terpakai untuk majikan yang mempunyai lima atau lebih kakitangan dan diklasifikasikan di bawah senarai Klasifikasi Standard Pekerjaan Malaysia yang diterbitkan oleh Kementerian Sumber Manusia.

Majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja boleh mengekalkan gaji minimum sebelum ini sebanyak RM1,200 sehingga akhir tahun, dan bermula dengan gaji minimum baharu tahun depan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button