Berita UtamaDunia

Hampir 200 juta orang berdepan krisis makanan ‘akut’

Angka tahun ini dijangka meningkat selepas peperangan di Ukraine

BRUSSELS, 4 Syawal 1443H, Khamis – Kira-kira 193 juta orang mengalami krisis makanan akut tahun lepas, menurut laporan bersama oleh Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.

Ia memberi amaran bahawa perang di Ukraine akan menambah angka orang yang terjerumus ke dalam krisis kelaparan, malah lebih teruk lagi pada tahun 2022.

Angka tahun lalu iaitu sebanyak 193 juta menandakan peningkatan hampir 40 juta daripada tahun 2020. 

Bagaimanapun, sebahagian daripada peningkatan itu disebabkan oleh fakta bahawa laporan terbaharu melihat sampel populasi yang lebih luas.

Pada 2021, negara yang mempunyai bilangan paling ramai orang yang mengalami krisis makanan ialah Republik Demokratik Congo, Afghanistan, Ethiopia, Yaman, Nigeria, Syria, Sudan, Sudan Selatan, Pakistan dan Haiti, kata laporan itu.

Ia menambah bahawa kira-kira 570,000 orang di Ethiopia, Sudan Selatan, selatan Madagascar dan Yaman menghadapi kebuluran. 

Ini adalah empat kali ganda bilangan yang diperhatikan pada 2020 dan tujuh kali lebih tinggi daripada 2016.

Laporan itu menyenaraikan konflik, peristiwa cuaca ekstrem dan kejutan ekonomi sebagai pemacu utama di sebalik peningkatan ketidakamanan makanan akut pada 2021, dan berkata prospek 2022 lebih suram walaupun sebelum Russia menyerang Ukraine pada 24 Februari.

“Perang yang berlaku di Ukraine berkemungkinan memburukkan lagi ramalan krisis makanan akut 2022 yang sudah teruk termasuk dalam laporan ini, memandangkan kesan perang terhadap harga dan bekalan makanan, tenaga dan baja global belum lagi diambil kira dalam kebanyakan analisis unjuran peringkat negara,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button