Berita UtamaDunia

Hungary tak sokong gesaan EU boikot minyak Russia

Sekatan akan musnahkan sepenuhnya keselamatan bekalan tenaga Hungary

BUDAPEST, 4 Syawal 1443H, Khamis – Hungary menegaskan ia tidak dapat menyokong gesaan oleh Kesatuan Eropah (EU) untuk melaksanakan larangan import minyak Russia menjelang akhir 2022, atas sebab langkah itu akan memusnahkan sepenuhnya keselamatan bekalan tenaganya.

Ketua Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen mencadangkan pengharaman secara beransur-ansur ke atas import minyak Russia pada hari Rabu, sebagai sebahagian daripada sekatan baharu untuk menghukum Moscow berhubung kempen ketenteraan di Ukraine.

Duta besar dari 27 negara EU bertemu dalam perhimpunan tegang pada hari Rabu untuk menilai rancangan itu, yang memerlukan persetujuan sebulat suara sebelum berkuat kuasa.

Jika diluluskan oleh negara anggota, larangan minyak akan menjadi langkah paling sukar bagi Brussel terhadap sektor tenaga Russia.

Cadangan itu akan mengharamkan minyak mentah Russia secara beransur-ansur dalam tempoh enam bulan akan datang dan bahan api ditapis menjelang akhir tahun ini.

Menteri Luar Hungary, Peter Szijjarto bagaimanapun berkata, Budapest tidak boleh mengundi untuk menyokong cadangan itu.

“Pakej sekatan ini akan memusnahkan sepenuhnya keselamatan bekalan tenaga Hungary.

“Penghantaran minyak mentah dari Russia ke Eropah akan diharamkan, dengan tarikh akhir yang singkat, dalam kes Hungary mulai akhir tahun depan,” kata Szijjarto dalam mesej video yang disiarkan di halaman Facebooknya.

Budapest akan menyokong cadangan itu jika minyak mentah yang dihantar melalui saluran paip dikecualikan daripada larangan EU, katanya.

Negara Eropah tengah itu mengimport 65 peratus minyaknya dan 85 peratus bekalan gasnya dari Russia, menurut jurucakap kerajaan Hungary Kovacs. 

Ia telah lama menolak menyokong sebarang larangan import minyak dan gas Russia.

Hungary dan Slovakia, kedua-duanya sangat bergantung kepada minyak Russia, telah ditawarkan satu tahun tambahan untuk memenuhi tuntutan EU bagi menggubal larangan itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button