Berita Utama

Turki hargai sumbangan dimainkan Malaysia dalam OIC

Khusus peranan dalam aspek kemanusiaan, pendidikan tinggi Islam

KUALA LUMPUR, 4 Syawal 1443H, Khamis – Turki merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas sumbangan yang dimainkan negara dalam arena antarabangsa terutamanya menerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Perkara itu dinyatakan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim yang mengadakan perbualan telefon bersama Speaker of the Grand National Assembly of Turkey, Prof Dr Mustafa Sentop, semalam.

Menerusi kenyataan di sini hari ini, Rais berkata penghargaan turut diberikan Turki kepada negara atas peranan yang dimainkan dalam aspek kemanusiaan.

“Turki merakamkan penghargaan kepada Malaysia di atas kerjasama melalui Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam pendidikan tinggi Islam,” katanya.

Selain itu, beliau berkata komitmen memerangi jenayah rasuah di peringkat antarabangsa serta perjuangan bersama bagi mencari penyelesaian kepada konflik antarabangsa, antara yang turut dipersepakati kedua-dua dewan menerusi perbualan telefon berkenaan.

Rais berkata Turki turut berharap Malaysia memahami peranan yang dimainkan negara itu dalam isu keamanan di rantau Eropah, ASEAN dan platform OIC.

Beliau dalam pada itu turut memaklumkan telah dijemput menghadiri satu persidangan khas yang akan diadakan pada 21 hingga 23 Jun ini di Turki.

Hubungan diplomatik Kuala Lumpur dengan Ankara bermula pada 1964 dan Turki mempunyai kedutaan di Kuala Lumpur dan Malaysia mempunyai kedutaan di Ankara. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button