Zionis halang laungan azan Isyak di Masjid al-Aqsa
Bertindak biadab memutuskan wayar pembesar suara

BAITULMAQDIS, 4 Syawal 1443H, Khamis – Tentera pengganas Israel semakin kejam apabila menghalang laungan azan Isyak di Masjid al-Aqsa selepas rakyat Palestin menyambut Aidilfitri pada Isnin lalu, sekali gus mencetuskan kemarahan penduduk setempat.
Sumber Jabatan Wakaf Islam di Baitulmaqdis memaklumkan, tentera rejim Zionis bertindak melarang laungan azan tersebut dengan bertindak memutuskan wayar pembesar suara.
Malah, tentera memberi alasan larangan dibuat berikutan Perdana Menteri, Naftali Bennet sedang berucap di Tembok Barat iaitu tembok batu kapur purba di Kota Lama Baitulmaqdis.
Sementara itu, gerakan Jihad Islam Palestin dan Suruhanjaya Antarabangsa Menyokong Hak Rakyat Palestin (Hashd) menerusi kenyataan mengecam tindakan zalim berterusan oleh rejim Zionis.
Jurucakap Jihad Islam Palestin di Tebing Barat, Tarek Ezzidine pula menyifatkan, perbuatan kejam Israel sebagai pencabulan yang serius dan menggesa rakyat Palestin teguh menentang dasar jenayah.
Terdahulu, tentera rejim Zionis menggempur Masjid al-Aqsa dan melakukan upacara sembahyang mereka di halaman kawasan suci umat Islam itu, termasuk bertindak mengibarkan bendera pendudukan Israel di dalamnya.
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengecam pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva serta pelanggaran kesucian masjid.
Pertubuhan antarabangsa itu menyalahkan sepenuhnya pendudukan Israel yang memberi kesan berterusan terhadap pelanggaran ini kerana secara terang-terangan melukakan perasaan umat Islam.
Perbuatan tersebut dibimbangi akan mencetuskan keganasan dan ketegangan, sekali gus membawa kepada letusan perang agama sehingga mengancam keselamatan serta kestabilan antarabangsa.
Justeru, OIC menggesa masyarakat antarabangsa terutama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) supaya menunaikan tanggungjawab bagi mencegah negara haram Israel dan tenteranya berterusan mencabul serta menceroboh tanah milik rakyat Palestin. – Agensi