Berita Utama

Program Pagi Bebas Kenderaan Kuala Lumpur diaktifkan semula: DBKL

Mereka yang ingin menyertai program ini perlu lengkap vaksin

KUALA LUMPUR, 28 Rabiulawal 1443H, Khamis – Program Pagi Bebas Kenderaan Kuala Lumpur (KLCFM) yang tertangguh akibat pandemik COVID-19 akan diaktifkan semula bermula Ahad ini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan memaklumkan sebagai permulaan, program dwimingguan itu akan dijadikan program simulasi sesuai dengan SOP baharu yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Mereka yang ingin menyertai program ini perlu lengkap vaksin (dua dos vaksin COVID-19 dan melepasi tempoh 14 hari) dan wajib membuat prapendaftaran.

“Peraturan kesihatan dan keselamatan yang diarahkan oleh MKN akan dilaksanakan secara ketat dalam melaksanakan program ini demi keselamatan peserta,” menurut kenyataan itu.

DBKL memaklumkan program simulasi yang akan diadakan pada November dan Disember ini akan menggunakan laluan sepanjang tujuh kilometer di sekitar ibu kota.

Jalan-jalan yang terlibat dalam program itu adalah Jalan Raja, Jalan P Ramlee, Jalan Dang Wangi dan sebahagian Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

“KLCFM adalah program yang dapat mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan warga kota di samping medan untuk mengamalkan gaya hidup sihat, mesra keluarga dan membudayakan penjagaan alam sekitar.

“Ia melibatkan aktiviti berjalan, berlari, meluncur atau berbasikal selama dua jam mulai 7 pagi hingga 9 pagi dan sepanjang tempoh itu, jalan-jalan yang terlibat akan ditutup kepada kenderaan awam dan persendirian,” katanya.

DBKL menjangkakan KLCFM akan dapat dilaksanakan secara penuh pada Januari depan dengan pelbagai acara sampingan lain dan penyertaan daripada lebih ramai penaja.

Mereka yang ingin menyertai KLCFM perlu membuat prapendaftaran terlebih dahulu menerusi laman sesawang KL Car Free Morning dan DBKL serta laman Facebook KL Car Free Morning dan DBKL yang telah dibuka sejak 2 Nov lepas.

Peserta yang berjaya mendaftar akan dimaklumkan melalui e-mel selepas tarikh pendaftaran dan untuk maklumat lanjut mengenai KLCFM, orang ramai boleh melayari www.klcarfreemorning.my. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button