Hari Raya peluang tarbiah anak-anak

HARI Raya pastinya dinanti-nantikan oleh anak-anak. Hari Raya disyariatkan untuk disambut sebagai hari kegembiraan dan hari kemenangan, bagi umat Islam yang berjaya melaksanakan ibadat dengan sempurna pada bulan Ramadan, juga sebagai menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT di atas rahmat kasih sayangNya.
Ramai ibu/bapa hanya menfokuskan sambutan Hari Raya kepada aspek material semata-mata seperti baju raya baru, juadah raya dan duit raya.
Sedarkah kita bahawa Hari Raya adalah satu medan tarbiyah terbaik untuk anak-anak? Peluang yang jarang-jarang datang ini jangan kita lepaskan, ya.
InsyaAllah masih belum terlambat untuk kita bertindak. Mari kita sama-sama lihat apakah perkara-perkara penting yang kita boleh lakukan bersama-sama kepada anak-anak kita.
Berikut saya senaraikan 7 perkara yang boleh kita mulakan:
1. Beri kefahaman tentang erti kegembiraan Hari Raya bagi seorang muslim.
Hari Raya adalah hari kemenangan dan kegembiraan dalam ruang lingkup ketaatan dan keredhaan Allah. Inilah yang membezakan agama Islam dan agama lain.
Rasulullah SAW bersabda: “Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya.”
Kegembiraan ini merujuk kepada rasa syukur kerana berpeluang menunaikan perintah Allah SWT, bukan kegembiraan kerana dapat lari daripada larangan makan dan minum pada siang hari.
2. Nasihati anak untuk meninggalkan maksiat dan perkara yang sia-sia.
Nikmat beribadah sepanjang Ramadhan dan nikmat Hari Raya yang kita kecapi ini hendaklah disyukuri.
الشكر ترك المعاصي
Kesyukuran itu adalah dengan meninggalkan maksiat.
Nasihati anak-anak supaya menjauhi kemungkaranNya seperti meninggalkan perbuatan mengumpat (membawang), membuang masa depan televisyen dan melewatkan solat.
Saidatina Aisyah pernah berkata: “Sekecil-kecil kewajiban orang yang diberi nikmat terhadap nikmat yang diberi adalah dengan tidak menjadikan nikmat itu jalan kepada maksiat.”
3. Nasihati anak untuk memberikan kemaafan terhadap kesalahan orang lain.
Allah SWT berfirman: “……dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;
4. Ajak anak saling berziarah dan mengenal saudara-mara dengan lebih rapat.
Agak mencabar bagi ibu bapa apabila ada anak yang lebih selesa berada dalam di rumah sambil melayan televisyen, bermain game atau melayari media social.
Beri motivasi ganjaran buat mereka yang bersilaturrahim kerana Allah:
Hadith: Orang yang berkasih sayang kerana Allah, orang yang saling berziarah kerana Allah,….mereka semua berhak mendapat kasih sayang-Ku (Allah)”
Nabi SAW bersabda:
“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menyambung silaturrahim.”
Hadith Qudsi: “Orang-orang yang saling mencintai kerana keagunganKu, maka bagi mereka itu mimbar-mimbar dari cahaya, yang dicemburui oleh oara Nabi dan para syuhada’.”
5. Ajar anak menguruskan duit raya.
Ibu bapa perlu bimbing anak kerana mereka belum mempunyai kematangan dalam berbelanja.
Ada bahagian yang boleh dibelanjakan, ada bahagian perlu disimpan dan ada bahagian perlu disedekahkan
“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” Al-Furqan: 67
6. Galakkan anak untuk berterusan melakukan amalan soleh selepas Ramadhan khususnya puasa sunat 6 Syawal.
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian meneruskan dengan enam hari di Bulan Syawal sepertinya dia berpuasa selama setahun.”
7. Melatih kemahiran sosial anak-anak berinteraksi dengan manusia yang pelbagai ragam dari pelbagai lapisan umur.
Bimbing anak-anak untuk:
-Menghormati orang yang lebih tua.
-Bercakap dengan beradab terhadap rakan sebaya.
-Bantu melayan dan meraikan tetamu.
-Berlapang dada dengan sebarang kekurangan dari tuan rumah yang diziarahi.
Jom kita buat sama-sama ya. Masih sempat kita masukkan 7 perkara ni dalam senarai -to do list- kita.
Dan yang lebih penting juga sebenarnya adalah Qudwah/contoh teladan yang baik dari kita sebagai ibu/bapa.
Ustazah Raihana Zainal Abidin
5 Syawal 1443H
Artikel asal;
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10160308090105921&id=633225920